30 August 2014
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 1
Mentera/Jampi
Sistem Kepercayaan Bomoh dan Teknik Pengubatannya di Kedah
Oleh : Noorhayati binti Shafie

Bomoh

Pengenalan

Satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah hakikat bahawa bomoh dan bidan memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Melayu Kedah. Pada tahun-tahun sebelum datangnya peradaban serta pendidikan barat, khususnya Inggeris, peranan atau fungsi bomoh begitu menonjol sekali di kalangan masyarakat Melayu Kedah. Dalam perkataan lain, peranannya di sini tidaklah terhad pada bidang mengubati dan menyembuhkan penyakit sahaja, bomoh juga terlibat dalam kegiatankegiatan harian masyarakat Melayu Kedah. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah mendirikan rumah baru, upacara perkahwinan, berpindah rumah, meneroka hutan, memilih jodoh, hal-hal mengenai kelahiran bayi, bersunat, mengubatkan penyakit dan lain-lain lagi.

Bagaimana memperolehi ilmu perbomohan:

Untuk menjadi seorang bomoh, seseorang itu mestilah memperolehi ilmu. Cara bomoh memperolehi ilmu dapat dibahagikan kepada dua golongan:

1)  Memperolehi ilmu melalui menuntut atau belajar.
2) Memperolehi ilmu melalui warisan atau keturunan. Di dalam kategori ini ilmu perbomohan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi kemudiannya.

Daripada dua golongan ini boleh dipecahkan lagi kepada beberapa kategori lagi. Mula-mula kita tinjau ilmu yang diperolehi melalui "menuntut".

"Menuntut" yang dimaksudkan di sini ialah dengan mempelajarinya daripada Tok Guru (bomoh) ataupun daripada amal ibadat yang tertentu. Orang yang menuntut melalui Tok Guru adalah terdiri daripada yang terlibat di dalam perubatan jenis akar kayu. "Penolong", iaitu makhluk ghaib yang menolong bomoh di dalam perubatan misalnya jin Islam dan sebagainya tidak perlu di dalam perubatan jenis ini. Yang lebih penting atau dititikberatkan ialah teknik menggunakan bahan-bahan daripada akar kayu.

Kategori kedua daripada bomoh menuntut ini ialah yang mempraktikkan ilmu ibadat. Orang yang menggunakan cara ini memperolehi ilmu melalui ilham. Ilham itu dikurniakan kepada seseorang adalah disebabkan oleh berkat amal ibadatnya. Setelah sekian lama beramal ibadat dengan penuh tekun dan sabar, datanglah pertolongan ghaib yang diistilahkan sebagai "ahli khutub", iaitu sejenis malaikat yang diutuskan oleh Allah untuk menolong bomoh di dalam usaha pengubatannya.

Ada satu jenis ilham yang diistilahkan sebagai "singgah". Ilham ini hanya bersifat sementara sahaja atau terhad di dalam jangka waktu yang tertentu sahaja. Roh yang berkebolehan di dalam hal-hal mengubat seperti wali-wali Allah dan jin Islam akan meresapi tubuh orang yang berkenaan dan akan memimpinnya di dalam usaha mengubati pesakit. Apabila orang yang berkenaan menerima ilham, dia dengan secara automatis menjadi pandai di dalam hal perubatan. Selepas habis tempohnya iaitu apabila roh-roh wali Allah dan jin Islam meninggalkannya, orang tadi akan menjadi seperti biasa semula. Tetapi jika orang yang berkenaan sedar akan ilmu yang dikurniakan kepadanya itu dan cuba mempelajarinya dengan lebih mendalam serta mengamalkannya, ilmu itu mungkin kekal diperolehinya.

Golongan kedua yang akan dibincangkan pula di sini ialah mereka yang mempelajari ilmu melalui warisan. Daripada golongan ini boleh dipecahkan lagi kepada dua kategori.

1) Mereka yang menjadi bomoh secara yang tidak disedari dan ilmu perbomohan diperturunkan kepada mereka oleh orang yang sudah mati.
2) Mereka yang memperolehi ilmu perbomohan daripada keluarga yang masih hidup lagi.

Bagi kategori pertama, bomoh tadi tidak berniat untuk menjadi bomoh tetapi disebabkan mereka mempunyai darah keturunan bomoh, maka ia harus diperturunkan oleh generasi sebelurnnya. Fenomena ini secara am agak jelas di dalam masyarakat Melayu di mana ilmu perbomohan bapa akan diperturunkan kepada generasi lelaki selepasnya dan ilmu perbomohan ibu akan diwarisi oleh anak perempuannya.

Kategori kedua daripada penerimaan ilmu melalui keturunan ialah ilmu diperturunkan oleh keturunan yang masih hidup lagi. Selalunya, datuk atau bapa akan menurunkan ilmunya kepada generasi selepasnya sebelum mereka meninggal dunia. Di dalam pengubatannya bomoh menggunakan jampi-jampi yang terdiri daripada ayat-ayat Quran dan juga jampi-jampi daripada perkataan Melayu. Segala doa ini kadang-kadang diperolehi melalui jampi.

Di sini "penolong" lebih banyak digunakan di dalam kes-kes bomoh yang turun-temurun. "Penolong" yang datang di dalam mimpi tadi berkemungkinan dalam bentuk roh-roh datuk nenek kepada bomoh-bomoh tadi yang pada satu masa asalnya adalah bomoh juga.

Makhluk-makhluk ghaib yang dimimpikan oleh bomoh merupakan kuasa luar biasa yang menolong bomoh di dalam hal-hal pengubatan. Sungguhpun begitu, "penolong" tidak semestinya diperolehi daripada bomoh turun-temurun sahaja. Seseorang bomoh yang belajar juga boleh memperolehi "penolong" iaitu melalui menuntut.

Dari sudut pandangan Islam, seseorang bomoh menerima "penolong" melalui amal ibadatnya. Setelah sekian lama beramal ibadat dengan penuh tekun dan sabar mengenai ajaran-ajaran Islam, seseorang itu akan didatangi oleh pertolongan ghaib. Pertolongan ghaib ini dikenali sebagai "ahli khutub". Fungsi atau peranan ahli khutub ini berlainan dengan "penolong" biasa yang telah disebutkan tadi. "Penolong" biasa ini secara kasar dapat dikatakan boleh dibuat "orang suruhan" kepada bomoh, tetapi ahli khutub memberi pertolongan dalam erti kata yang agak berlainan daripada "penolong" biasa. Ahli khutub lebih bersifat menasihati atau memberitahu perkara-perkara yang di luar kemampuan manusia untuk berfikir. Dalam perkataan lain, ahli khutub memberitahu tentang perkara-perkara ghaib.

Kategori yang kedua terdiri daripada mereka yang tidak menggunakan "penolong". Di sini apa yang lebih penting terletak pada teknik pengubatan mereka. Mereka bergantung kepada kecekapan mencampur berbagai-bagai akar kayu. Jadi di sini jenis pengubatanlah yang memainkan peranan penting di dalam menentukan sama ada seseorang itu memerlukan "penolong" atau tidak.

Untuk menjelaskan lagi hal mengenai cara-cara memperolehi ilmu, ada dua perkara yang perlu penghuraian lanjut. Yang pertamanya adalah konsep "berkat" dan keduanya "Bakul Pengkeras". Dua perkara ini perlu diberi penghuraian kerana perkara ini merupakan sebahagian daripada inti pati perbincangan mengenai cara bomoh memperolehi ilmu.

 
  1 | Selepas >