02 December 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 3
Lagenda
MAHSURI : Sebuah Tragedi Negeri Kedah
Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Ilustrasi Mahsuri diikat di pokok.

Pada waktu malam Deramang telah berpantun dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar pantun dan cerita Deramang.

Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang laki-laki, dan telah diberi nama Mat Arus.

Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Oleh kerana begitu terkenalnya Mahsuri maka namanya sentiasa di bibir mulut tiap-tiap orang.

Mahura isteri Dato' berasa cemburu dan iri hati kepada Mahsuri kerana namanya terkenal dan dengan mengingatkan cita-cita suaminya tempoh hari hendak memperisterikan dia dan telah menimbulkan perselisihan di antara dia, dengan suaminya itu maka ia mengambil keputusan hendak membuat fitnah.

Pada suatu malam yang gelap dia meminta izin daripada suaminya Dato' hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang berpantun dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Ia pun pergi. Beberapa ketika kemudian dan sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta dengan tangisnya dan memberitahu suaminya bahawa ia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan dan Deramang memakai sebentuk cincin yang diberi kepadanya oleh Mahsuri.

Benar Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa-jasa Deramang dalam menglipurkan hatinya dengan berpantun dan bercerita dalam masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama.

 
Monumen Mahsuri

Apabila mendengarkan cerita isterinya itu maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya dan pada keesokan paginya ia telah mengerah orang-orangnya menangkap Mahsuri dan dengan tidak menyiasat lebih lanjut serta perbicaraan, ia telah dijatuhkan hukuman bunuh.

Orang-orang Dato' itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat dan mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat tiada jauh dari rumahnya mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu. Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengannya. la diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' menangkap dan membunuh akan dia kerana kelakuan sumbangnya dengan Deramang. la hendak dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus dan di sanalah hukuman itu hendak dijalankan.

Mahsuri berasa hairan dan merayu bahawa dia tiada bersalah. Tetapi segala rayuannya itu sia-sia belaka.

Bapanya Pandak Maya yang sedang berada di dalam rumahnya apabila mendengar khabar mala petaka yang menimpa anaknya itu telah membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya itu tetapi tiada berhasil.

Perkhabaran berkenaan dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di dalam Mukim itu dan ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya.

Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pembunuhan itu. Permintaan Mahsuri yang terakhir ialah hendak menentang wajah anaknya bagi kali yang terakhir tetapi Dato' tiada membenarkannya.

 

la telah diikat kepada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam telah digunakan. Apabila ditikamkan ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi kulit atau dagingnya. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu pembunuh-pembunuhnya bahawa jika sekiranya mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh akan dia, dia ada sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuh akan dia.

Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing Mahsuri. Apabila ditikamkan lembing itu ke tubuh badannya maka kelihatan darah putih memancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya.

Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang akhir dia telah berkata dengan suara yang lembut dan jelas bahawa oleh kerana perbuatan zalim ini Pulau Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan selama tujuh keturunan yang akan datang. Ramalan Mahsuri itu betul berlaku.

Deramang pula apabila ia mendengar peristiwa yang dahsyat ini ia telah lari ke Perlis dan langsung tidak kedengaran ceritanya.

Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam dan telah ditawan dan dibinasakan mereka. Dato' Seri Kerma Jaya dan kesemua ahli keluarganya telah dibunuh oleh tentera yang menyerang itu. Ramai daripada penduduk pulau itu telah ditawan dan dibawa ke Silim.

Sebagai ikhtiar yang akhir sebelum tentera Dato' yang bertahan itu mengundurkan diri, mereka telah menggunakan taktik menjahanamkan harta benda iaitu dengan membakar padi beras rakyat dan bekalan-bekalan tentera.

 
  < Sebelum | 3