28 March 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 4
Mentera/Jampi
Sistem Kepercayaan Bomoh dan Teknik Pengubatannya di Kedah
Oleh : Noorhayati binti Shafie

Isyarat hendak lupa diri

Seseorang bomoh dapat meneka bahawa ia akan mengalami keadaan menurun atau tidak sedarkan diri ini. Ada bomoh yang merasa sejuk ibu jari kakinya dan keadaan sejuk ini akan merebak ke seluruh badannya. Kemudian dia akan terus lupa atau tidak sedarkan diri. Ada juga bomoh yang merasa seram sejuk di bahagian telinganya dan diikuti oleh keadaan yang menyebabkan meremang bulu roma tengkuk dan akhir sekali, beliau pun mengalami keadaan menurun. Isyarat hendak lupa diri yang dialami oleh para bomoh ini berlainan di antara satu sama lain.

Terdapat dua keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya peristiwa 'menurun' ini :
(i) Secara sengaja
(ii) Secara tidak sengaja

Yang dimaksudkan dengan secara sengaja ialah, bomoh memang mempunyai tujuan ke arah menurun tadi dengan maksud mengubatkan penyakit. Ini dilakukan dengan menyeru 'makhluk ghaib' yang menjadi pesuruh bomoh tadi. Juga sebelum fenomena 'menurun' terjadi, terdapat beberapa upacara yang dijalankan oleh bomoh seperti menyediakan alat-alat pemujaan seperti bertih, nasi kunyit dan sebagainya.

Keadaan tidak sengaja pula boleh timbul kerana beberapa sebab. Yang pertamanya, bomoh tidak mempunyai tujuan menurun apabila ia sedang mengubati seseorang pesakit. Tetapi disebabkan oleh keadaan yang sudah tidak dapat dikawaI dia dengan tiba-tiba akan lupa diri.

Keadaan kedua ini iaitu menurun dengan tidak sengaja, terjadi kepada bomoh yang melanggar pantang larang. Pantang larang yang boleh membawa kepada lupa diri atau menurun selalunya disebabkan oleh makanan, iaitu bomoh mesti berpantang daripada memakan benda-benda yang berdarah.

Apabila terjadi keadaan menurun, seseorang bomoh itu mestilah mengubati dirinya sendiri. Berkenaan dengan menurun dengan sengaja, tidaklah menyulitkan. Apabila habis saja berubat, dalam masa menurun itu seseorang itu akan pulih seperti sediakala. Misalnya bomoh akan meminta kemenyan, kemudian dibakar dan diperasap ke seluruh tubuh badannya.

Bagi keadaan menurun yang tidak sengaja pula, keluarga yang terdekat atau sahabat handai akan menolong bomoh itu lupa diri, keluarganya akan menyediakan asap kemenyan. Kemudian beliau akan 'menyahut' semula benda-benda yang di'bela'nya iaitu makhluk 'ghaib. Selepas ini barulah bomoh atau bidan tadi akan sedarkan diri dan pulih seperti sediakala.

Selain daripada cara-cara pengubatan yang telah dibincangkan, terdapat beberapa cara lagi untuk mengubatkan penyakit. Di antara cara-cara itu ialah jampi, urut, menggunakan akar kayu dan menggunakan hikmat.

Jampi

Hampir setiap bomoh menggunakan jampi di dalam sistem pengubatan mereka. Mengenai jampi ini, terdapat berbagai-bagai bahasa yang digunakan oleh para bomoh, termasuklah ayat-ayat Quran, bahasa Jawa, bahasa Thai dan bahasa Melayu. Ada doa atau jampi yang boleh digunakan untuk bermacam-macam jenis penyakit dan ada doa tertentu yang dikhaskan untuk satu jenis penyakit sahaja. Jampi-jampi seperti dalam bahasa Jawa, bahasa Thai dan bahasa Melayu hanya boleh digunakan untuk satu jenis penyakit sahaja. Yang istimewanya, ayat Quran boleh digunakan untuk semua jenis penyakit.

Urut

Di dalam sistem pengubatan seharian, jarang bomoh yang menggunakan hanya semata-mata jampi. Selain daripada jampi, akan disertai juga cara-cara pengubatan lain seperti menggunakan ramuan ubat-ubatan, alat-alat tertentu serta cara mengurut.

Ada penyakit yang tidak cukup dengan hanya menggunakan jampi tetapi mesti diikuti dengan mengurut seperti hal-hal patah bahagian anggota badan.

Menggunakan Akar Kayu

Satu lagi cara yang sering dilakukan oleh para bomoh ialah dengan membuat ramuan ubat-ubatan daripada akar kayu. Di dalam hal ubat-ubatan akar kayu, elemen-elemen seperti tanah, air, api dan angin memainkan peranan penting.

Untuk satu penyakit terdapat beberapa cara pengubatan misaInya bagi satu jenis penyakit sahaja terdapat penggunaan sembilan bahan campuran, sebelas bahan campuran dan ada yang menggunakan tujuh belas bahan campuran. Terdapatnya kelainan-kelainan ini adalah kerana satu-satu ubat itu bergantung pada kesesuaian badan seseorang itu. Jenis ubat-ubatan yang digunakan oleh bomoh di dalam pengubatannya terdiri daripada akar-akar kayu, daun-daun, kulit-kulit kayu dan juga ranting kayu. Tetapi seseorang bomoh itu di dalam memilih bahan-bahan untuk pengubatannya sentiasa teliti kerana kalau tidak dia mungkin terpilih bahan yang beracun.

Menggunakan Barang-barang Ganjil

Benda-benda ganjil yang dimaksudkan di sini ialah barang-barang yang dipercayai mempunyai kuasa pemulih penyakit. Barang-barang yang mempunyai hikmat ini amat susah diperolehi. Benda-benda ganjil ini terdiri daripada 'geliga embun' dan 'gading gajah mina'. Benda-benda ganjil seperti ini adalah benda yang didapati kerana seseorang itu secara tidak langsung bernasib baik. Geliga embun ini boleh digunakan untuk mengubatkan sakit mata. Caranya ialah dengan memasukkan geliga embun itu yang besarnya lebih kurang sebesar biji saga ke dalam mata. Kalau dibedah badan dan dimasukkan geliga embun ke dalam badan, seseorang itu akan menjadi kebal. Kebal bermakna orang tidak dapat mencederakan diri orang yang memakai geliga embun di dalam badannya. Begitu juga dia tidak dapat dibunuh oleh orang. Kadangkadang apabila dicederakan dan dia kelihatan seolah-olah telah mati dan badannya dilemparkan ke dalam sungai tetapi setelah embun turun iaitu pada tengah malam orang tadi akan bangun semula.

 
  < Sebelum | 4