26 April 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 3
Lagenda
Raja Bersiong
Oleh : Atan S. B.

Pengawal itu pun segera pergi ke penjara. Pada masa itu terdapat seorang musuh raja yang telah tua. Ia sepatutnya menjalani hukuman bunuh hari itu. Ia dibunuh di situ juga oleh pengawal yang menjalankan perintah Raja Bersiong itu. Darahnya dimasukkan ke dalam bekas dan dibawa kepada raja.

 

Raja Bersiong tersenyum melihat bekas yang berisi darah itu. Orang ramai yang berada dalam istana berasa takut, tetapi mereka tidak berani berkata apa-apa. Mereka tahu raja yang laparkan darah manusia itu akan membunuh sesiapa sahaja untuk mendapatkan darah.

 

Bermula dari hari itu, Raja Bersiong tidak dapat hidup tanpa merasa darah manusia. Orang-orang tahanan semakin banyak yang dibunuh, walaupun mereka tidak bersalah. Kerana ini, baginda sangat dibenci oleh orang-orang dalam istana.

 

Setelah didapati orang tahanan dalam penjara tinggal beberapa orang sahaja lagi, Raja Bersiong tahu ia mesti mencari jalan untuk mendapatkan bekalan darah yang berterusan. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal supaya menculik budak-budak yang tidak bersalah. Walaupun penculikan itu dilakukan oleh pengawal-pengawal raja, tetapi orang ramai menyedari siapakah yang bertanggungjawab atas semua kejadian itu. Budak-budak yang tidak bernasib baik terus dibunuh dan darah mereka diberikan kepada tukang masak untuk dicampurkan ke dalam kari raja.

 

Penduduk kampung tersangat marah akan Raja Bersiong. Perbuatan baginda membunuh orang-orang yang tidak bersalah hanya untuk mendapatkan darah mereka dianggap sungguh zalim.

 

Perbuatan Raja Bersiong memakan darah manusia ini menyebabkan dua batang taring atau siong tertumbuh di sebelah mulutnya. Perkara ini tidak disedarinya sehingga pada satu pagi, setelah sedar daripada peraduannya, baginda terasa sakit di mulut. Baginda meminta seorang menteri yang telah tua supaya melihat apakah punca kesakitan itu.

 

Setelah memerhatikan dengan teliti, menteri itu sungguh terperanjat dengan apa yang dilihatnya. Ia segera memberitahu raja. "Ampun tuanku, kesakitan yang tuanku alami itu bukanlah berpunca daripada gigi. Tetapi terdapat dua batang siong telah tumbuh di sebelah mulut tuanku, dan siong inilah yang menyebabkan tuanku berasa sakit".

 

Apabila mendengar perkara tersebut, Raja Bersiong pun ketawa dengan kuatnya. Suara baginda itu telah menakutkan orang-orang dalam istana. Mereka tahu tentu ada sesuatu perkara yang berlaku.

Berita raja mempunyai siong itu tersebar di seluruh negeri. Baginda sungguh bangga dengan siong-siong tersebut. Baginda mahu seluruh rakyat tahu bahawa siong baginda bertambah panjang apabila baginda memakan darah manusia. Perkara ini sangat menakutkan rakyat Kedah.

 

Raja Bersiong berharap dengan adanya siong itu, rakyat bertambah hormat dan musuh akan takut kepada baginda. Pembunuhan ke atas budak-budak dan rakyat yang tidak bersalah terus dilakukan. Baginda mahukan darah untuk memuaskan seleranya yang semakin bertambah.

 

Tukang masak baginda berasa sungguh sedih di atas kekejaman yang dilakukan oleh pengawal-pengawal raja. Ia mesti melakukan sesuatu untuk mengelakkan perkara ini daripada berterusan. Ia bercadang untuk membunuh Raja Bersiong dan menamatkan kekejaman baginda. Setelah merancang beberapa hari, akhirnya pada suatu hari semasa raja keluar berburu, tukang masak mengambil peluang ini untuk meracuni raja.

Rancangan ini tidak diberitahu kepada sesiapa kerana takut rahsia ini akan diketahui raja. Tukang masak mengambil masa lebih daripada satu jam untuk memasak kari raja pada hari itu. Semasa tidak ada orang yang melihat, dia pun mengeluarkan satu benda yang berbentuk seperti tanduk yang mengandungi racun di dalamnya. Ia segera menaburkan racun tersebut ke dalam kari raja.

 

Hari ini Raja Bersiong berasa sedih kerana kumpulannya tidak dapat membunuh banyak rusa. Baginda segera perintahkan supaya pulang ke istana. Dalam perjalanan, tidak ada siapa berani bersuara. Suara nyanyian dan pukulan gendang juga tidak kedengaran.

 
  < Sebelum | 3 | Selepas >