29 March 2024
[1] [2]

HALAMAN 2
Lagenda
Sejarah Dan Cerita Siputeh
Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari, sewaktu puteri yang baru berkahwin itu mengacip pinang, secara tidak sengaja telah terkacip jarinya dan berdarah. Darah yang keluar itu berwarna merah dan bukannya putih seperti yang dimegah-megahkan. Perkhabaran itu kedengaranlah kepada Raja Acheh. Baginda sangatlah murka kerana katanya ia telah diperdayakan oleh Sultan Sulaiman; diberikan anak yang berdarah merah berkahwin dengan puteranya dan bukan yang berdarah putih seperti yang di janji dan dipinangkan.

Baginda bertitah kepada menteri dan hulubalang agar bersiap dan melengkapkan perahu-perahu dengan alatan perang kerana ia hendak melanggar negeri Kedah dan mengambil puteri yang berdarah putih itu dan membela keaibannya.

Kelengkapan yang besar itu mengambil masa selama enam bulan dan pada ketika yang agak baik, angkatan perang Raja Acheh pun belayar menuju ke Siputeh.

Hal kemaraan Raja Acheh itu telah diketahui oleh Sultan Sulaiman dan ia pun memerintahkan menteri dan hulubalangnya bersiap sedia menahan serangan Raja Acheh.

Apabila sampai angkatan Raja Acheh di Pering; suatu tempat berdekatan dengan Siputeh, mereka pun mengepung kota pertahanan yang terletak di atas satu pulau kecil. Serangan itu dipertahankan oleh baginda Sultan dengan sekuat-kuatnya. Akhirnya, angkatan Raja Acheh terpaksa berundur semula ke Pering. Peperangan itu dalam keadaan bertahan sahaja kerana belum ada pihak yang menang atau kalah.

Tetapi dalam masa beberapa bulan sahaja, kota Siputeh tidak boleh bertahan lagi kerana makanan pun hampir habis dan orang-orang di dalam kota pun ramai yang telah mati dilanda penyakit dan kelaparan. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa dibenarkan keluar daripada kota. Entah bagaimana, seorang perempuan terlepas keluar kerana hendak mencari makanan. Dalam perjalanannya, ia telah berjumpa dengan seorang hulubalang Acheh yang menyamar diri sebagai orang tua penangkap ikan. Ia pun menegur perempuan tersebut dan sewaktu berbual-bual, perempuan itu telah terkeluar rahsia keadaan sebenar di dalam kota. Mendengar berita tersebut, hulubalang Acheh itu merasa sangat gembira.

Pada waktu subuh selepas peristiwa tersebut, orang-orang Acheh membuat satu serangan yang mengejutkan ke atas kota Siputeh. Orang-orang di dalam kota mempertahankan serangan itu berhabis-habisan tetapi akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan kerana kebanyakan panglima yang handal telah terkorban dan luka parah.

Apabila pecah sahaja pintu kota, panglima perang Acheh terus menuju ke Istana Raja kerana hendak mengambil puteri yang berdarah putih tersebut.

Tetapi malangnya telah terlewat kerana puteri itu telah ditanam hidup-hidup dengan perintah ayahandanya Sultan Sulaiman dan telah mangkat.

Maka, dengan kerana marahnya panglima Acheh di atas perbuatan itu, ia telah memerintahkan sekalian perempuan dan kanak-kanak yang ada di dalam kota itu dibunuh tetapi baginda Sultan Sulaiman dan permaisurinya ditangkap dan dibawa pulang ke Acheh.

Di sana, baginda Sultan dan permaisurinya telah dibicarakan dan didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh.

Siputeh diperintah oleh kerajaan Acheh selama beberapa tahun tetapi akhirnya, mereka telah dikalahkan dan diusir keluar.

Setelah beberapa ratus tahun kemudian, penduduk Siputeh telah menemui dua buah kubur yang terletak di atas tanah tinggi cukup dengan batu nisan di Kampung Siputeh. Satu daripada batu nisan itu tertulis "Sultan Sulaiman" dan satu lagi "Siputeh".

Bagi mengingati Puteri Siputeh yang bijaksana dan yang telah menjadikan tempat ini masyhur dan makmur, para penduduk telah memberi nama mukim ini "Siputeh" dan ditambah perkataan "Puteri Lindungan Bulan" selepas nama tersebut.

Negeri Kedah pada zaman dahulu disebut sebagai "Kedah Lindungan Bulan" kemudian diubah kepada "Kedah Darul Aman".

 
  < Sebelum | 2