19 April 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 3
Cerita Rakyat
Selindong Bulan Kedah Tua
Bab 1 : Di-Istana Mahligai Gading
Oleh : Awang Had bin Salleh
Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1964

Pangkulun tadi menghampiri ayah dan bonda-nya, lalu daripada tinggi merendah dudok dengan segera, angkat tangan jari sa-puloh lalu menyembah sambil berkata: "Ampun ayah dan bonda, apa-kah hajat ayah yang panggil anakanda ka-mari diBalairong Seri? Apa-kah hajat dan kerja? Mohon-lah ayah cheritakan." Sa-telah itu maka di-jawab oleh Maharaja Jawa, "Hah, hah, anak ayah, buah hati ayah, jantong limpa, urat rambut, batu kepala. Ada-lah tujuan ayah memanggil anakanda ka-mari ini ia-lah sebab ayah telah buatkan sa-buah mahligai baharu. Di-sana-lah anakanda pergi bermain dengan hulubalang ra'ayat semua. Dan taman-nya pun telah ayah siapkan. Pergi-lah tuan dengan segera."

Sa-telah di-dengar oleh Pangkulun Duli Baginda kehendak ayah dan bonda-nya, maka tiada-lah baginda berbanyak bichara. Kemudian bermohon-lah baginda berangkat ka-mahligai baharu. Pada masa baginda sampai di-sana: hari pun petang dan waktu pun hampir malam. Sa-telah sudah santap baginda pun masok beradu.

Besok-nya hari pun siang:

Ayam pun berkokok,
murai pun membacha,
fajar menyingsing,
merah menyala.

Tatkala itu Pangkulun tadi pun bangun lalu di-ambil ayer dibasoh-nya muka. Sa-telah sudah membasoh muka, baginda pun berkata kapada hulubalang-nya, "Hai hulubalang beta, pagi ini beta mahu kamu pergi ka-kampong. Apabila sampai di-kampong itu pergi-lah kamu kapada Penghulu Mukim. Suroh di-lengkapkan segala To' Pawang Sait, To' Pawang Rimba, To' Pawang Aring dan To' Pawang Rusa. Tujuan beta di-dalam dada ia-lah hendak pergi memburu rusa besok hari di-dalam hutan rimba belantara.

Apabila di-dengar oleh hulubalang, titah Pangkulun itu, maka ia pun daripada tinggi merendah dudok dengan segera, angkat tangan jari sa-puloh, lalu menyembah, sambil berkata: "Mohon tuan patek." Sa-telah itu ia pun berjalan-lah. Tidak berapa lama kemudian sampai-lah ia ka-rumah Penghulu Mukim. Apabila di-lihat oleh To' Penghulu, ia pun bertanya, "Hai hulubalang, nampak tuan ini bergopoh-gapah datang. Apa-kah hajat? Sila-lah naik!"

Apabila hulubalang itu telah naik ka-atas rumah, ia pun diberi makan. Sa-telah sudah makan, ia pun berkata, "Hai To' Penghulu Mukim, saya ini menerima titah perentah daripada anak raja kita yang bergelar Pangkulun Duli Baginda. Tujuan-nya menyuroh kumpulkan segala To' Pawang Sait, dan To' Pawang Rimba. Besok baginda hendak pergi memburu rusa di-dalam hutan rimba belantara." Sa-telah itu jawab To' Penghulu Mukim, "Hai hulubalang, jangan-lah tuan susah di-dalam hati, hajat tuan patek itu boleh-lah kami sediakan." Sa-telah itu hulubalang tadi pun bermohon pulang pada waktu itu juga.

Tidak berapa lama antara, ia pun sampai-lah balek di-Mahligai Gading, lalu terus masok mengadap Pangkulun Duli Baginda. Ia pun daripada tinggi merendah dudok dengan segera, angkat tangan jari sa-puloh lalu menyembah sambil berkata, "Ampun tuanku Pangkulun Duli Baginda, yang mana tuan patek telah titah perentahkan kapada patek itu sudah siap semua patek jalankan." Kemudian jawab Pangkulun Duli Baginda, "Hai hulubalang, beta uchapkan ribuan terima-kaseh di-atas susah payah tuan berkorban tenaga ke'rana menunaikan hajat beta."

Sa-telah keesokan hari-nya, hari pun siang:

Ayam pun berkokok,
murai pun membacha
fajar menyinsing,
merah menyala.

Tatkala itu Pangkulun Duli Baginda pun telah bangun daripada beradu, lalu di-ambil ayer, di-basoh muka. Sa-telah sudah membasoh muka, baginda pun santap-lah.

Pada pagi itu siap-lah segala hulubalang sakalian. Pangkulun pun berangkat-lah menuju ka-rumah Penghulu Mukim. Tidak berapa lama antara-nya, sampai-lah mereka ka-rumah Penghulu Mukim. To' Peran Aring dan To' Peran Rusa telah siap bersedia menunggu. Apabila angkatan Pangkulun itu sampai, mereka pun berangkat terus menuju ka-hutan pada pagi itu juga.

Sa-telah sampai di-hutan, To' Pawang Rusa pun dengan segera pergi menchari2 rusa. Di-hendap2-nya di-serata gumpong. Kemudian telah berjumpa-lah ia konon tiga, empat ekor rusa di-dalam gumpong itu. Kemudian tali aring-aring pun di-bentang-lah.

Sa-telah siap di-bentang tali aring itu, maka bertempek sorak-lah mereka rioh-rendah, gegak-gempita, di-dalam belukar, di-tepi rimba. Maka terkejut-lah rusa tadi hingga terjegel biji mata. Maka berlari2-lah rusa itu ka-timor, barat, selatan dan utara untok melepaskan diri daripada aring itu.

Sa-telah tidak berdaya lagi, dan sa-telah sampai waktu dan masa-nya, rusa itu pun melompat-lah. Sa-kali melompat, terkena-lah aring itu. Ketika itu To' Peran tadi pun kalangkabut melompat lalu menetak keting rusa itu.

Sa-telah di-tetak, rusa itu pun di-rapus lalu di-sembeleh dan di-buang segala jembalang padang dan jembalang rimba. Apabila telah habis di-buang segala sial, malang dan chelaka, baharu-lah di-ambil dan di-usong rusa itu di-bawa ka-Mahligai Gading.

Maka tumpat-lah konon orang2 di-istana Pangkulun Duli Baginda itu, menanti. Apabila sampai rusa itu di-mahligai itu, maka kalangkabut-lah mereka melapah dan memasak berbagai2 warna dan nika. Apabila sudah masak maka makan-lah mereka rioh-rendah gegak-gempita. Lepas itu bermain-lah mereka sepak raga di-halaman istana Pangkulun Duli Baginda. Kemudian hari pun petang dan waktu pun malam sa-mula. To' Penghulu Mukim dan sakalian ra'ayat tentera pun masing2 bermohon pulang.

Sekarang tinggal-lah Pangkulun Duli Baginda. Apabila sudah santap baginda pun hendak beradu. Hari pun malam dan waktu pun sudah sampai sa'at dengan ketika. Pangkulun pun masoklah ka-peraduan.

Pada masa itu, zaman itu, ada-lah isti'adat anak raja beradu itu di-iring oleh inang pengasoh di-kiri kanan-nya. Masing2 pun dudok-lah memujok rayu dodoikan lala supaya Pangkulun beradu dengan segera. Inang2 pengasoh itu masing2 memegang kipas yang di-buat daripada bulu merak. Sambil mengipas itu, mereka pun berpantun dan berseloka:-

Burong punai ekor lebat,
Singgah bersarang di-pohon mengkudu,
Tiup serunai di-palu gendang nobat.
Sambil dok ulit, Raja beradu.

Hujan pagi, hingga petang,
guroh berbunyi di-dalam awan,
bukan-lah kurus, kerana ta' makan,
gila dan mabok berchampor rawan.

Guroh berbunyi di-dalam awan,
Anak merebok di-atas changgong,
Bukan-lah kurus kerana ta' makan,
Gila dan mabok badan-lah menanggong.

Burong merebok di-atas changgong,
Anak ayam kepala titi,
Bukan-lah kurus kerana ta' makan,
Tidor malam, tuanku bermimpi.

Anak temenong ibu temenong,
Orang memukat di-tepi gunong,
Nasi ta' makan ayer ta' minum,
Di-mana dudok di-situ-lah termenong.

Tatkala itu Pangkulun pun beradu-lah.

 
  < Sebelum | 3