02 December 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 4
Cerita Rakyat
Hikayat Terung Pipit
Bab 1 :
Oleh : Panglima Ali Mudin bin Panglima Hasan
Sumber : Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985

Setelah sudah siaplah kapal itu cukup dengan alat senjatanya, maka baginda Raja Jawa berangkatlah serta membawa isteri baginda yang muda yang bernama Tuan Puteri Bongsu Emas Payung Mahkota itu bersama-sama.

Setelah sampailah kepada ketika yang baik dan saat yang sempurna maka Raja Jawa pun belayar ke laut lantara. Setelah sampailah keluar kuala, maka kapal baginda itu pun kenalah ribut taufan terlalu besarnya, tujuh hari tujuh malam siang sama malam serupa; kelam-kabut tiada tampak daratan lagi. Maka kapal baginda itu pun jatuhlah ke Johor Mengkaleh Tanah Jata.

Maka tatkala itu Syahbandar Raja Kuala Selampit itu pun dikenalnya akan kapal besi tiang tiga itu, kapal Raja Sulung Jawa Lindung Bulan Kedah Tua. Maka Syahbandar Selampit pun naik ke daratan langsung masuk mengadap Raja Bongsu Johor Mengkaleh Tanah Jata, persembahkan kata Raja Sulung Jawa masuk ke Johor Mengkaleh. Maka titah Raja Bongsu kepada Selampit suruh tangkap rampaskan sekaliannya, jika ia melawan disuruh lawan dengan alat senjata.

Maka Syahbandar Selampit pun bermohon pergi dengan segeranya seraya katanya, "Mana titah tuan batu kepala patik hendak perbuat kerja."

Maka Selampit pun memberi hukum kepada seldadu yang duduk jaga kota, disuruhnya tembak meriam seribu tiga ratus itu jangan bertanya, biar genap belaka kepada kapal besi tiang tiga itu. Setelah itu, maka Raja Sulung Jawa Lindung Bulan Kedah Tua pun berperanglah dengan Selampit Syahbandar Raja Kuala, tiga hari tiga malam siang sama malam serupa; tiada berhenti lagi. Maka Raja Lindung Bulan habis putus ubat belanja, maka sekalian hulubalang penggawa baginda pun habis mati; tinggal dua tiga orang pun tertangkap serta dengan baginda oleh Selampit Raja Kuala, hanya seorang juga yang lepas, iaitu budak kundang baginda Selamat nama dia; diterjunnya sama tengah arus pintu kuala, diberenangnya naik ke hulu daratan, lalu naik ke daratan langsung pergi mengadap Raja Bongsu.

Maka diampun oleh Raja Bongsu akan dosanya Tuk Selamat itu.

Setelah itu, maka Raja Sulung Jawa Raja Lindung Bulan Kedah Tua pun dibawa oleh Selampit naik ke daratan, lalu masuk mengadap Raja Bongsu, "Meminta hukum akan Raja Sulung ini patik hendak perbuat kerja."

Maka titah Raja Bongsu suruh bunuh kerat kepala, sulakan di Simpang Tiga. Maka sembah Selampit Raja Kuala, "Janganlah Tuanku kita bunuh dia, boleh kita buat hulubalang kita - kita suruh jaga kuala."

Maka titah Raja Johor Mengkaleh disuruh bunuh juga seraya katanya, "Yang aku tiada boleh tinggal di Tanah Jawa pun dengan sebab Raja Sulung Jawa juga, sekarang ini aku hendak buat biar puas hatiku, aku hendak basuh arang di muka, hendak buang karat di hati, langgam di dada."

Maka tiga kali Selampit masuk mengadap Raja Johor Mengkaleh meminta ampun jangan dibunuh akan Raja Jawa itu, kerana kasihan Selampit sebab tuan penghulu dia juga; titah RajaJohor suruh bunuh juga. Maka Selampit Raja Kuala pun dibawalah akan Raja Sulung Jawa di Simpang Tiga, hendak dikeratnya kepala. Maka beberapa ditombak dan ditikam oleh Selampit Raja Kuala akan Raja Jawa itu tiada juga senjata itu mahu memakan dia.

Maka titah Raja SulungJawa akan Selampit, "Wan, Wan, dengarlah Wan sahaya hendak kata, sahaya pun sukalah mati di Johor Mengkaleh Tanah Jata ini di Simpang Tiga. Adalah sebilah tombak sahaya duduk di dalam peti dekat isteri sahaya, silalah Wan ambil dengan segera akan tombak itulah boleh menyampaikan akan maksud Raja Johor Mengkaleh Tanah Jata itu. Akan tetapinya dengarlah Wan sahaya hendak berpesan, jika sahaya hilang hayat padam jiwa di Johor ini, alamat negeri ini hendak rosak binasa jadi padang jarak padang tekukur; dua belas tahun sampailah masanya. Boleh lihat dengan mata telinga."

Maka segala Keling, Cina, Siam, Melayu habis dengar belaka akan sumpah Raja Jawa itu. Setelah sudah maka Wan Cik pun pergilah ambil akan tombak yang dikata oleh Raja Jawa itu.

Setelah sudah maka Selampit pun hendak membunuh akan Raja Sulung Jawa itu, lalu Selampit pun mengangkat tangan jari menyusun di atas kepala seraya katanya, "Sampun Pekulun tuan batu kepala, sekarang ini patik hendak perbuat kerja, janganlah ditimpa daulat tulah papa. Kerana dengan titah Raja Johor juga yang patik hendak perbuat kerja."

Maka Selampit pun menombaklah akan Raja Sulung Jawa itu. Setelah itu maka Raja Sulung Jawa pun rebahlah, hilang hayat padam jiwa di Simpang Tiga diJohor Mengkaleh Tanah Jata.

Maka Selampit pun mengerat kepala Raja Sulung Jawa itu, disulanya di Simpang Tiga, diperbuatnya sepertimana titah Raja Johor Mengkaleh Tanah Jata itu. Maka akan rupa Raja Sulung Jawa itu tiada berubah rupanya, rambutnya panjang terkersang-kersang, giginya hitam bagai sayap kumbang, tujuh hari cahaya tak hilang. Jangankan sebabat manusia, sekalian burung helang yang terbang pun habis jatuh air mata kasihan belas, menaruh sayang buang air mata akan Raja Sulung Jawa itu dibuat oleh Raja Johor Mengkaleh Tanah Jata itu; kerana bukan lain berdengan dia saudara sepupu juga, kerana tiada patut dengan dosanya diperbuat demikian itu rupa.

Setelah sudah Raja Sulung Jawa hilang hayat padam jiwa di Johar Mengkaleh itu, akan isteri baginda yang bernama Bongsu Emas Payung Mahkota itu diambil oleh Wan Cik Raja Kuala akan jadi isteri yang muda, dibelanya dipeliharanya cukup dengan sepertinya. Demikianlah halnya Selampit itu.

 
  < Sebelum | 4