29 March 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 3
Syair
Syair Kenang-kenangan, Yapsai dan Taman Penghiburan

1360 - 1364
1941 - 1945

SYAIR TAMAN PENGHIBURAN
 
Kaum ibu di ini zaman
Tersunyi adat terkurang iman
Bersahabat handai berkawan teman
Tempat bertemu di penghiburan taman

Taman penghiburan konon namanya
Cukup lengkap permainan di dalamnya
Tari-menari kesemua adanya
Gegak gempita bunyi bahananya

Makyong bertabuh gong berdengung
Sayu laksana gerok termenung
Bersahutan suara di kemuncak gunung
Jadi penawar hati yang bingung

Di sini panggung di situ panggung
Begitulah rupa nyanyian canggung
Gendang ditampat gong disigung
Permainan Perlis yang maha agung

Lepas canggung bangsawan pulak
Loceng berbunyi tirai terselak
Puteri pun keluar mata bercelak
Kening berpantih bedak merlak

Beralih ke kanan mata memandang
Wayang cina tengah menendang
Kain diangkat hala ke padang
Tengah gemuruh berbunyi gendang

Beralih pulak mata ke kiri
Di dalam embun sambil berdiri
Lihat ronggeng tengah menari
Sambil berpantun berbagai peri

Bertaruh berjudi memanglah subur
Laksana tanaman yang cukup digembur
Agar merlak pucuk bersembur
Banyak dah orang jadi tercebur

Api dipasang dengan cemerlang
Sinar bersigih bukan kepalang
Jarum yang jatuh haram tak hilang
Serasa penonton tak suka pulang

Kipas berpusing panji-panji berkibar
Iman yang cair harus tak sabar
Melihat penonton bergambar-gambar
Berkuyat gamiat bertanya khabar

Dari mana hendak ke mana
Ditanya oleh seorang teruna
Kepada gadis seorang betina
Berbibir merah berseluar cina

Ke mana tah lagi ke tempat selalu
Takut terlewat baik dahulu
Jawab gadis tersilu-silu
Hati teruna bagai dipalu

Disahut oleh teruna tadi
Bolehkah saya teman menjadi
Apatah salah jika tuan sudi
Jawab gadis si keladi

Tuan ini seorangkah diri
Atau pun sudah tuan beristeri
Disoal oleh si puteri
Kepada teruna muda jauhari

Saya memang tunggal semata
Belum berkahwin sudahlah nyata
Biasa tetapi bermain mata
Sebelumlah lagi saya melata

Encik ini seorangkah juga
Atau pun sudah bertalak tiga
Atau pun ada orang menjaga
Demikianlah pula teruna menduga

Saya dahulu isteri orang
Sekarang ini tinggal seorang
Janda berhias dikata orang
Jawab gadis dengan mengerang

Tengah bertutur lalu pulak
Seorang lagi tergelak-gelak
Berkain batik betis terselak
Lebihlah lagi rupanya galak

Ayuhai encik gemala sakti
Bertanya teruna sambil perhati
Daripada jawapan teruna dapati
Baharulah sahaja lakinya mati

Rambut berkembung kening terbentuk
Bibirnya merah seperti pelatuk
Paun digangtung ke dada dihantuk
Malam berjaga siang mengantuk

Tubuhnya kurus lehernya jinjang
Tetapinya tua sungguhpun bujang
Cakap pun banyak tali keranjang
Teruna tak suka lagi tak panjang

Selamat tinggal teruna memberi
Tinggallah si bujang membawa diri
Lain pula teruna mencari
Hingga ke tengah malam hari

Bermacam-macam rupa teruna berjumpa
Hitam kelabu putih sopa
Ke taman penghiburan mereka menimpa
Teruna keliru yang mana nak timpa

Bercelak mata kening beraut
Berpipi merah bersanggul siput
Ada setengah berkerat rambut
Serasa teruna bagai nak rabut

Bibirnya merah mengada-ngada
Hingga meleleh turun ke dada
Rambutnya berkilat seperti perada
Itu pun lagi tiada memada

Berbaju bandung berkain batik
Bergelang kaki kasut dipetik
Berjalas tertomos punggungnya lentik
Perasaan diri ialah cantik

Ada setengah berbatik belah
Bedak dilumur putih serlah
Kain yang putih lagi pun kalah
Emas diselit gigi di celah

 
  < Sebelum | 3