|
Telaga Mahsuri |
Apabila Mahsuri berumur seminggu, Pandak Maya bermimpi bahawa ia hendaklah membawa anak kecilnya itu mandi di sebuah kolam yang tiada jauh dari rumahnya. Ia pun menunaikan kehendak mimpinya itu. Lepas mandi kanak-kanak itu pun dibawa pulang.
Untuk melapangkan hatinya, Pandak Maya pergi bersia-siar di dalam hutan kerana itulah kesukaannya. Sedang ia berjalan di dalam hutan itu ia telah ternampak setimbun batu yang ganjil rupanya. Dibedek-bedeknya dan ditakiknya dengan parangnya benda itu lalu dibakarnya. Asap yang keluar daripada pembakaran itu harum dan keras baunya. Dipungutnya beberapa ketul lalu dibawanya pulang. Selepas itu ditunjukkannya kepada Ah Pek. Kata Ah Pek benda itu ialah kemenyan dan boleh dijual dengan senang dan harganya pun baik. Pandak Maya telah mengutip banyak lagi kemenyan dan minta dijualkan kepada Ah Pek di Pulau Pinang.
Tempat Pandak Maya menjumpai kemenyan itu hingga hari ini dinamakan Lubok Kemian. Hasil daripada jualan kemenyan itu menambahkan wang Pandak Maya.
Apabila Mahsuri besar rupanya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya dan membawa hadiah. Sebagai seorang gadis yang telah besar panjang rupa parasnya bertambah-tambah cantik dan dia pandai pula melayan tetamu-tetamu yang datang serta bertimbang rasa terhadap orang-orang yang miskin. Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikkannya di seluruh Pulau Langkawi itu.
Pada masa tersebut Langkawi telah diperintah oleh seorang orang besar yang dianugerahi oleh Sultan gelaran Dato' Seri Kerma Jaya dan nama isterinya Mahura. Apabila Dato' itu mendengar cerita Mahsuri dan peri kecantikannya serta budi bahasanya itu beliau pun pergi ke Mawat dengan maksud hendak melihat Mahsuri.
Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Maya didapatinya Pandak Maya dan isterinya tidak ada di rumah. Anak mereka, Mahsuri ada. Ia pun membuka pintu dan memberitahu Dato' itu bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak. Dato' itu mengatakan bahawa dia tak dapat menanti dan akan datang sekali lagi pada suatu hari kelak. |