29 June 2017
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 1
Lagenda
Raja Bersiong
Oleh : Atan S. B.

Pada zaman dahulu, Negeri Kedah berada di bawah pemerintahan Raja Siam. Kebanyakan Raja Kedah menggunakan nama dalam bahasa Siam. Malahan terdapat juga yang berketurunan Siam. Raja Ong Maha Perita Daria adalah salah seorang daripada mereka, tetapi baginda lebih dikenali sebagai Raja Bersiong.

 

Pada masa pemerintahannya, Raja Bersiong sangat zalim. Rakyat Kedah sentiasa dalam ketakutan. Tiada siapa berani membuat kekacauan, kerana apabila ditangkap mereka akan diseksa atau terus dibunuh oleh para pengawal atau panglima Raja Bersiong.

 

Kuasa jajahan Raja Bersiong bertambah daripada masa ke semasa. Sebahagian besar Lembah Bujang yang terletak di tengah negeri Kedah berada di bawah pemerintahan baginda, tetapi baginda tidak berasa puas hati. Baginda mahu meluaskan lagi taklukannya. Ini telah dihalang oleh panglima-panglima yang gagah berani. Raja Bersiong yang semakin tua itu sudah tidak berdaya untuk melawan panglima-panglima tersebut. Baginda kembali dan berehat di istana.

 

Baginda sangat suka makan masakan kari. Paling digemari apabila kari itu pedas dan dibubuh banyak rempah. Masakan kari yang menjadi kegemaran baginda ialah masakan kari sayur bayam.

Setiap kali baginda santap, dua orang panglima berkawal di belakang baginda, kerana Raja Bersiong sangat takut kalau ada orang yang mahu membunuh baginda.

Sepatutnya baginda tidak harus berasa apa-apa kerana istana baginda dikawal oleh pengawal-pengawal yang sangat setia kepada baginda.

 

Raja juga selalu bimbang sekiranya ada orang mahu meracuni baginda. Sesungguhnya ini amat mustahil kerana baginda mempunyai dua orang tukang masak yang sangat jujur. Seorang ditugaskan untuk membasuh sayur-sayur bayam sementara seorang lagi yang sangat pandai memasak kari disuruh memasak kari bayam ini untuk santapannya. Kedua-dua tukang masak ini bersahabat baik.

 

Setiap pagi semasa raja masih tidur, kedua-dua orang tukang masak itu mesti menyiapkan masakan kari bayam. Sekiranya masakan tersebut belum tersedia sewaktu raja bangun daripada peraduannya, baginda akan memarahi dan menghukum kedua-dua orang tukang masak itu.

 

Baginda sangat suka berburu, terutama memburu rusa. Dalam kawasan Lembah Bujang, terdapat bermacam-macam jenis kancil dan rusa liar. Binatang-binatang itu sangat pantas berlari, kerana itu Raja Bersiong mempunyai dua ekor anjing yang terlatih untuk membantu baginda dalam pemburuan. Oleh itu, setiap kali berburu, baginda akan berjaya membunuh beberapa ekor rusa yang besar. Apabila kembali ke istana, baginda akan memerintahkan tukang masak mencampurkan daging rusa tersebut ke dalam masakan kari kegemaran baginda untuk menambahkan lagi kelazatannya.

 
  1 | Selepas >