29 June 2017
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 4
Lagenda
Raja Bersiong
Oleh : Atan S. B.

Setelah sampai di istana, Raja Bersiong segera perintahkan supaya disediakan makan malamnya. Tetapi kali ini dua ekor anjing buruan baginda turut bersama semasa baginda berada di meja makan. Baginda perlukan teman setelah gagal dalam pemburuan.

Tukang masak pun membawa kari kegemaran baginda ke meja. Ia terlalu takut sehingga tangannya menggigil, tetapi mujurlah raja tidak melihat.

 

Sebelum sempat Raja Bersiong memakan kari yang beracun itu, seekor daripada anjingnya yang kelaparan telah melompat ke atas meja makan dan terlanggar mangkuk yang berisi kari itu. Kari itu pun tumpah ke lantai.

 

Raja yang sedang lapar, terkejut dengan peristiwa itu. Dengan marah baginda perintahkan pengawal supaya menghalau anjing-anjing itu keluar. Tetapi belum sempat pengawal menghalaunya, anjing-anjing itu telah memakan kari yang tumpah di lantai.

Dalam beberapa saat sahaja racun yang berbisa itu meresap masuk ke dalam badan anjing-anjing itu. Kedua-duanya menggelepar kesakitan. Setelah memeriksa kedua-dua ekor anjing itu, pengawal pun memberitahu raja bahawa anjing tersebut telah mati. Nyatalah kepada baginda bahawa kari itu mengandungi racun. Baginda berasa lega kerana anjing-anjing itu telah menyelamatkan nyawa baginda.

 

Maka tahulah raja bahawa tukang masaknya mencuba meracuni baginda. Kerana ialah sahaja yang memasak dan menyediakan kari baginda selama ini. Segera diperintahkan supaya kedua-dua tukang masak ditangkap dan disiksa.

Setelah puas mendapat seksaan, maka tukang masak yang bertanggungjawab memasukkan racun ke dalam kari raja pun mengaku kesalahannya. Ia tidak sanggup melihat kawannya yang tidak bersalah disiksa juga. Raja amat murka dengan pengakuan tersebut. Baginda segera memerintahkan supaya dipenggal leher tukang masak itu. Perintah tersebut segera dijalankan. Baginda kemudian mengarahkan tukang masak yang seorang lagi supaya mengambil alih tugas tukang masak yang telah dibunuh itu.

 

Dari hari itu, raja mempunyai seorang tukang masak sahaja. Baginda memerintahkan dua orang pengawal menjaga setiap gerak-geri tukang masak tersebut untuk memastikan ia tidak akan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan raja. Tentunya pengawasan ini tidak perlu, kerana tukang masak itu terlalu takut, dan ia tidak akan mencuba sesuatu yang boleh membahayakan nyawanya sendiri.

 

Raja Bersiong tetap dengan kekejamannya. Beberapa orang nelayan yang berani, berpakat untuk menamatkan perbuatan itu. Salah seorang daripada mereka memberitahu kawan-kawannya bahawa masa untuk mereka memberontak telah tiba. Walaupun tidak mempunyai senjata yang lengkap tetapi mereka berazam untuk menamatkan pemerintahan Raja Bersiong yang zalim itu.

 

Tetapi malangnya, rancangan kaum nelayan itu telah diketahui oleh Raja Bersiong. Baginda mendapat berita tersebut daripada salah seorang nelayan yang telah belot terhadap kawan-kawannya. Raja Bersiong segera memerintahkan askar-askar simpanannya yang bersenjatakan senapang supaya bersembunyi di dalam hutan berhampiran dengan istana.

 

Apabila askar-askar melihat kumpulan nelayan sedang mara menuju ke istana, mereka segera menyerang dan menembak beberapa orang daripada mereka. Kaum nelayan yang terkejut dengan serangan itu terus melarikan diri.

 

Kaum nelayan menuju ke kampung mereka untuk menyelamatkan diri dengan harapan askar-askar Raja Bersiong tidak akan mengejar mereka. Tetapi sesampai sahaja mereka di kampung, dilihat banyak askar yang lengkap bersenjata menanti. Ini kerana nelayan yang belot tadi telah memberitahu Raja Bersiong tentang tempat kediaman nelayan-nelayan tersebut.

 

Salah seorang daripada nelayan yang dilantik menjadi ketua dalam kumpulan nelayan itu telah menyeru kawan-kawannya supaya melawan askar-askar tersebut sehingga ke akhir hayat mereka. Tidak ada gunanya mereka menyerah kerana mereka akan dibunuh juga.

Maka berlakulah peperangan. Askar-askar Raja Bersiong telah berjaya membunuh semua nelayan yang memberontak itu. Tetapi kematian mereka bukan kerana menyerah tetapi kerana melawan.

 

Semasa peristiwa ini berlaku, salah seorang daripada menteri Raja Bersiong tidak ada dalam negeri. Setelah beliau kembali ke Kedah, keluarganya telah menceritakan apa yang telah berlaku dan tentang kematian adiknya yang termasuk dalam kumpulan nelayan itu.

Setelah mendengar berita itu, menteri berasa marah dan sedih. Selama ini, beliau amat patuh kepada raja, dan kini adiknya sendiri telah dibunuh. Beliau adalah seorang yang cintakan keamanan dan tidak sanggup melihat kekejaman yang berterusan berlaku ke atas rakyat Kedah. Beliau berfikir sudah tibalah masanya untuk menamatkan kezaliman Raja Bersiong itu. Beliau mesti mengambil sesuatu tindakan.

 

Menteri tersebut adalah seorang yang terkenal di kalangan orang-orang istana. Beliau tidak mahu menimbulkan sebarang kekacauan dalam istana. Beliau menantikan hari apabila raja keluar berburu dengan pengawal-pengawal baginda. Tidak beberapa lama kemudian keluarlah raja berburu ke dalam hutan. Masa inilah yang dinantikan oleh menteri itu. Beliau segera melancarkan pemberontakan. Beliau berjaya mendapat sokongan daripada menteri-menteri dan askar-askar Raja Bersiong.

Beliau segera menyusun satu angkatan yang besar mengandungi beribu-ribu orang askar. Mereka berbaris menuju ke tempat Raja Bersiong sedang berburu.

 

Raja sungguh terkejut melihat askar-askar yang begitu banyak menuju ke arah baginda. Tahulah baginda bahawa menteri dan askar-askarnya telah belot. Baginda segera perintahkan pengawal-pengawal yang berjumlah seratus orang bersama baginda itu supaya melawan angkatan menteri itu. Tetapi tidak seorang pengawal pun yang menurut perintah baginda, malahan kesemuanya telah masuk ke dalam kumpulan menteri tadi. Tinggallah baginda seorang diri.

Raja Bersiong mula berasa takut. Baginda terus melarikan diri ke dalam hutan yang tebal itu. Menteri memberitahu orang-orangnya supaya jangan menangkap Raja Bersiong. Beliau tahu, raja Bersiong tidak akan berani lagi keluar daripada hutan itu.

 

Tahulah angkatan menteri itu bahawa mereka sekarang telah selamat daripada kekejaman Raja Bersiong. Semua rakyat Kedah sungguh gembira dengan kejayaan menteri dan askar-askarnya.

Beberapa tahun kemudian mangkatlah Raja Bersiong di dalam hutan yang tebal itu kerana terlalu tua.

 

Di bawah pemerintahan menteri yang adil itu, kawasan Lembah Bujang menjadi maju dan aman selalu. Rakyat tidak lagi berasa takut. Raja Bersiong yang zalim tidak mengganggu mereka lagi.

 
  < Sebelum | 4