02 May 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 2
Lagenda
Raja Bersiong
Oleh : Atan S. B.

Waktu ini kumpulan baginda berada di tengah hutan. Kerana bimbangkan keselamatan raja, para pengawal menyuruh baginda berteduh di dalam sebuah gua yang berhampiran. Pada mulanya baginda menolak, dan baginda mahu meneruskan pemburuan. Tetapi setelah dilihat hari semakin gelap dan hujan semakin lebat, baginda pun bersetuju dengan cadangan tersebut.

Hujan yang lebat itu berlarutan selama empat jam. Baginda sangat marah dan mula terasa lapar. Tetapi apabila teringatkan tangkapan yang telah dibuat, baginda berasa gembira kerana telah berjaya menangkap enam ekor rusa yang besar-besar.

 

Setelah hujan berhenti, Raja Bersiong memerintahkan orang-orangnya supaya bersiap untuk pulang. Tidak ada gunanya meneruskan pemburuan kerana semua binatang telah lari jauh ke tengah hutan.

Atas perintah raja, semua hasil buruan dimuatkan ke atas dua buah kereta tolak. Setelah siap, mereka pun berangkat menuju ke istana.

 

Sementara itu di istana, kedua-dua orang tukang masak raja berasa bimbang kerana raja mereka belum pulang. Mereka sedang sibuk menyiapkan masakan kari untuk raja dan pengawal yang turut serta berburu.

 

Tukang masak yang bertugas memasak kari raja adalah seorang yang suka berkhayal. Sewaktu memasak kari raja, beliau memikirkan keselamatan baginda. Tiba-tiba pisau yang digunakan terhiris jarinya sendiri. Masa itu juga darah keluar dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam periuk yang berisi kari raja.

"Apa mesti aku buat?" ia berkata sendirian. "Sekiranya baginda tahu tentang perkara ini, tentu aku akan dihukum nanti. Aku mesti sediakan masakan yang lain sebelum baginda sampai".

 

Untuk memasak kari yang istimewa itu memakan masa sekurang-kurangnya satu jam. Dalam keadaan kelam-kabut itu, tukang masak terdengar bunyi trumpet, menandakan raja dan rombongannya telah sampai. Tentunya tukang masak tidak sempat menyediakan kari yang lain. Beliau berharap semoga raja tidak akan merasakan sebarang perbedaan dalam masakannya kali ini.

 

Raja Bersiong yang sedang kelaparan itu memandang kepada masakan kegemarannya. Baunya yang wangi makin menambahkan lagi selera baginda. Tanpa membuang masa, baginda mengambil sepinggan nasi dan terus memakannya dengan masakan kari yang terhidang.

Setelah hampir separuh kari tersebut dimakannya, baru baginda menyedari akan perubahan rasanya. Baginda tidak pernah merasakan kari yang seperti ini sebelumnya. Segera baginda perintahkan pengawal memanggil tukang masaknya untuk mengetahui apakah yang telah dimasukkan ke dalam kari baginda kali ini.

 

"Apakah yang telah kamu masukkan ke dalam kari beta hari ini?" soal raja kepada tukang masak.

Tukang masak yang menyediakan masakan itu terus sahaja mengaku kesalahannya. Ia tahu tidak ada gunanya ia berbohong kepada raja. Sebaliknya dengan berterus-terang ia berharap raja dapat memaafkan kesalahannya.

"Ampun tuanku, semasa patik menyediakan kari tuanku, dengan tidak sengaja jari patik telah terluka dan beberapa titik darah telah termasuk ke dalam kari tuanku. Ampunkan patik tuanku, patik tidak sempat menyediakan masakan kari yang lain. Tolong ampunkan patik tuanku".

 

"Oh begitu," sahut raja. "Jadi campuran darahlah yang menyebabkan kari beta terasa berlainan daripada biasa. Kari ini sungguh sedap. Beta mahu kamu campurkan lebih banyak darah di setiap masakan beta pada masa akan datang".

 

Mendengar arahan tersebut, tukang masak menjadi takut. Beliau tahu apakah yang dimaksudkan oleh raja itu. Raja Bersiong adalah seorang raja yang zalim. Baginda menyimpan banyak musuh di dalam penjara. Setengah-setengah daripada mereka sedang menanti masa untuk dihukum bunuh. Raja berpaling kepada pengawal dan bersuara dengan kuat.

"Pergi ke penjara dan lihat siapa akan dibunuh hari ini. Bawa sebuah bekas bersama kamu. Setelah memenggal lehernya, kamu masukkan semua darahnya ke dalam bekas dan bawa kepada beta".

 
  < Sebelum | 2 | Selepas >