22 October 2017
[1]

HALAMAN 1
Mitos
Cerita Dongeng Kedah Tua
Oleh : James F. Augustin

Pa' bin Pong menceritakan kepada saya masa kami berdua sedang belayar masuk ke Pelabuhan Kuah (Pelabuhan Bass) pada satu petang beberapa tahun yang lepas.

Katanya "beberapa kurun yang lalu, orang-orang Kedah serupalah dengan orang-orang Negeri Troy. Orang-orang Troy mengorbankan gadis dari masa ke semasa kepada raksasa laut dengan perintah Poseidon untuk membela Laemedon, Raja Negeri Troy, kerana ia enggan membina kota sekeliling bandar negeri itu sebagai hadiah kepadanya. Raja-raja Negeri Kedah pula terpaksa mengorbankan seorang puteri Kerabat Di Raja kepada seekor saktimuna laut (sejenis ular besar) di Langkawi apabila seorang Raja baru naik takhta kerajaan atau berbangkit satu peperangan dengan sebuah negeri yang lain".

Sebagai balasan pengorbanan ini, saktimuna itu hanya memakan orang-orang Siam dan orang-orang Mergui. Bukan sahaja ia tidak memakan orang-orang Kedah tetapi juga menjaga rumah tangga mereka; ada kalanya ia merentang diri di pintu pelabuhan (kira-kira dua batu luas) supaya mempertahankan angkatan laut musuh masuk menyerang.

Selepas beberapa tahun orang-orang Negeri Kedah berhenti membuat pengorbanan itu. Saktimuna itu pun jatuh marah lalu mulai memusnahkan negeri dengan memakan rakyat-rakyat dan kerbau lembu. Tidak ada siapa pun dalam negeri yang boleh memujuk dan menahan perbuatannya.

Maka dalam keadaan yang begitu dahsyat, tak keruan, senyap sunyi dan bercampur duka datanglah seorang tua dan alim memberi tahu isi negeri ia boleh menyelamatkan mereka dari haruan saktimuna itu. Ia pun tidak berlengah lagi menghamparkan tikar sembahyang terus sembahyang dan membaca doa. Selesai sahaja ia memberi salam, datanglah saktimuna itu turun dari gunung-ganang lalu membelit dan terus menelan orang tua itu dengan satu telanan; lepas itu ia pun naik seolah-olah marah yang amat sangat. Seluruh batang tubuhnya kering-keriut dan memanggungkan kepalanya tinggi daripada pokok yang sehabis tinggi yang ada di situ; ekornya membedal dengan sekuat-kuat bedalan dan matanya berbinar seumpama api. Kemudian dengan menyemburkan darah dari mulutnya, ia pun menjalar dengan pantasnya ke arah gunung-ganang Pulau ini.

Semenjak dari itu tidak pernah kelihatan saktimuna ini; ada orang yang biasa naik ke daerah gunung-ganang ini untuk mencari bijih timah ada berjumpa tulang ular yang sangat besar di antara lurah-lurah gunung yang dalam.

 
  1