29 March 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 2
Cerita Rakyat
Selindong Bulan Kedah Tua
Bab 1 : Di-Istana Mahligai Gading
Oleh : Awang Had bin Salleh
Sumber : Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1964

Apabila telah selesai santapan, Maharaja Jawa tadi memakai pakaian, ia-itu baju kurongan baju sutera, seluar-nya juga saran sa-rupa, samping-nya konon bernama Kain Telepok Dewangga. Lepas daripada itu di-ambil keris lalu di-selit di-pinggang, kemudian di-ambil tengkolok pula di-lilit di-kepala. Tenggeknya konon chara Anak Batu Bahara.

Sa-telah selesai berpakaian itu, baginda pun menitah kapada nenek nujum supaya menilek sa'at dan ketika dengan segera. Maka di-jawab oleh nenek nujum, "Ampun tuanku, Duli Mahkota, dan bersembah patek yang hina bertambah lata. Sa-kira-nya tuanku hendak keluar daripada kota, nampak-nya hari ini, yang patek lihat di-dalam ramal patek, sangat-lah molek tuanku pergi di-luar kota."

Sa-telah itu Maharaja Jawa tadi pun mohon keluar kota, di-iringi hulubalang, dan dato' panglima yang gagah lagi perkasa. Tidak berapa lama berjalan sampai-lah baginda ka-Balairong Seri, lalu bersemayam-lah baginda di-atas takhta kerajaan. Kemudian baginda pun bertitah kapada Mamak Wazir dan Perdana Menteri serta hulubalang sakalian, "Hai, Mamak Wazir, Mamak Pemangkubumi dan hulubalang beta. Beta telah memerentah Selindong Bulan Kedah Tua ini, telah genap lima puloh dua tahun lama-nya, pada tahun ini. Apa-kah gerangan tingkah laku dan gaya? Ada-kah aman negeri kita?"

Sa-telah itu di-jawab oleh hulubalang, Dato' Wazir dan Perdana Menteri serta Pemangkubumi sakalian: "Ampun tuanku Duli Mahkota, sembah patek hina dan lata. Patek tengok sa-lama tuan patek memerentah di-dalam Selindong Bulan ini, nampaknya negeri di-dalam aman dan sejahtera, dan segala saudagar2 pun ramai juga masok berjual dan berniaga. Segala tanam2an pun subor. Dan segala ra'ayat dan tentera semua-nya ma'mor. Negeri kita ini aman dan tenteram."

Sa-telah di-dengar oleh Maharaja Jawa, baginda pun ketawa seraya bertitah, "Hah, hah, hah, apakala beta mendengar sembah tuan2 ini, alang-kah lapang di-dalam dada." Kemudian titah baginda lagi, "Hai Mamak Wazir, beta hendak pergi keluar kota kerana ada sadikit hajat di-dalam hati beta. Sekarang ini beta hendakkan anakanda beta Pangkulun Duli Baginda, hadhir dengan segera." Mamak Perdana Menteri pun memerentah hulubalang pula dengan segera. Hulubalang itu pun mohon-lah pergi memanggil Pangkulun Duli Baginda.

Apabila sampai, hulubalang tadi pun mengadap Pangkulun Duli Baginda : daripada tinggi merendah dudok dengan segera, angkat tangan jari sa-puloh lalu menyembah sambil berkata, "Ampun tuanku, Seri Maharaja Muda, dengan titah perentah ayahanda tuan patek, suroh tuan patek mari ka-Balairong Seri dengan segera, kerana ayahanda dan bonda tuan patek sedang menanti, dan salasilah-nya patek ta' tahu, dan jangan-lah tuan patek na' tahu, dan jangan-lah tuan patek pereksa."

Pangkulun tadi pun, sa-telah mendengar perkataan hulubalang itu, tidak-lah lagi berbanyak bichara. Baginda pun bersiap memakai pakaian: seluar sutera, baju kurongan pun sa-rupa juga, kain samping-nya kain Chindai Gahara. Sa-telah itu diambil tengkolok lilit kepala. Kemudian di-ambil-nya keris Anak Lang, lalu di-selit di-pinggang.

Selesai berpakaian itu, baginda pun turun-lah berjalan, diiring oleh sakalian inang pengasoh. Tidak berapa lama berjalan dengan seronok dan ramai rioh gegak-gempita, maka sampailah baginda di-Balairong Seri.

 
  < Sebelum | 2 | Selepas >