28 July 2017
[1] [2]

HALAMAN 2
Syair
Syair Sultan Maulana 1812
Oleh : Muhammad Yusoff bin Hashim

Kisah Peperangan antara Kedah dengan Burma kerana membantu Siam
  mengusirkan Burma dari Pulau Salang (Phuket) 1810.
 Sejarah Kedah sebagai latar belakang kepada peperangan ini
 ditulis oleh Ismail bin Saleh untuk Persatuan Sejarah
  Malaysia Cawangan Kedah Darulaman.

Atwinwun menggeleng-geleng kepalanya kerana belum sampai seminggu beliau menerima surat Sultan Ahmad Tajuddin mengatakan Kedah suka dan gembira melihat Burma berjaya menduduki pulau itu, Sultan Ahmad Tajuddin sendiri menghantar angkatan Melayu mengusirkan Burma dari sana.

Atwinwun paham dan sedar bahawa tindakan Sultan Ahmad Tajuddin adalah satu paksaan diplomasi yang mesti dibuat oleh Sultan Ahmad tajuddin. Sultan Ahmad Tajuddin barangkali berputus asa dari mendapat bantuan Burma untuk melegakan tekanan Siam ke atas Kedah tetapi Burma masih berazam membantu Kedah kerana Siam adalah musuh tradisi Burma yang paling ketara.

Burma terusir dari Phuket dalam bulan Mac 1810 tetapi Atwinwun datang kembali dengan angkatan yang lebih besar dalam bulan Jun. Seribu orang ditugaskan mengambil semula Pulau Phuket (Salang) dan enam ribu orang diarah berangkat ke Kedah mengusirkan Siam yang mengancam Sultan Ahmad Tajuddin.

Malangnya angkatan Burma dipukul ribut dan tersasul arah di celah-celah selat dan teluk di kawasan ini. Hampir-hampir tiga ribu orang terkorban di laut. Lebih sedikit dari tiga ribu cuma berdaya mendarat di Takuapa, dan saki baki dari angkatan besar ini berjaya juga menyeberangi Selat Pak Phra dan menduduki sebahagian dari Pulau Phuket itu.

Dalam bulan Jun, angkatan Kedah telah pulang ke Kedah. Angkatan Siam diketuai oleh anak Raja Legor (Gabenor Nakhorn Sri Tammarat) berjaya mengusir Burma dari Phuket dalam bulan September tahun itu.

Kekecewaan yang dirasai oleh Burma terserlah juga kepada Ahmad Tajuddin. Burma tidak berupaya menolong Kedah lagi dan Kedah terpaksa berdiri sendiri menghadapi Putar belit Siam - putar yang semakin ligat membelit leher Kedah.

Siam mengambil beberapa tindakan menjamin supaya kawasan Selatan (Teluk Andaman) tidak diganggu gugat oleh Burma dan melemahkan negeri Kedah yang dikhuatiri kesetiaannya.

Tindakan Siam ialah meletakkan Setol dan Langu, dua daerah Kedah, yang diperintahkan oleh Tunku Bisnu bagi pihak Sultan Kedah, di bawah tadbiran Raja Senggora. Wilayah Terang, sebuah daerah Kedah yang lebih mewah, diserah kepada Legor sebagai tukaran kerana sebelum ini Terang ditadbir oleh Senggora. Sultan Ahmad Tajuddin yang berjasa besar mengusirkan Burma dari Phuket berasa pahit kerana dibalas oleh Siam dengan air tuba. Legor yang meminum susu lemak dan manis. Selepas ini Kedah tidak berhak langsung ke atas Langu, Setol dan Terang walaupun wilayahnya sendiri.

Peperangan membantu Siam Mengusir Burma dalam bulan Mac 1810 boleh dianggap setia - suatu peristiwa sial yang memulakan tekanan demi tekanan ke atas Kedah dari Bangkok melalui Legor.

Kejayaan Kedah di Phuket sebenarnya menyemarakkan hasad dengki Raja Legor, Phaya Noi terhadap Cao Phaya Sultan Ahmad Tajuddin. Apabila Sultan Ahmad Tajuddin bersahabat baik dengan Raja senggora dan membuat hubungan dengan Inggeris; setelah memajakkan Pulau Pinang kepada Inggeris; Raja legor terpaksa menghumbankan fitnah demi fitnah menjatuhkan imej Kedah di istana Raja Bangkok. Raja Siam di Bangkok amat rapat dengan Raja Legor kerana adik perempuan Raja Legor menjadi seorang gundik kepada Raja Bangkok dan Kepala Berang di wilayah Selatan juga berkaum kerabat dengan Raja Legor.

Tindakan Legor seterusnya mengarahkan Kedah menyerang Perak (1818) dan Legor sendiri menyerang Kedah (1812) dengan anggapan Kedah akan musnah buat selama-lamanya. Sultan Ahmad Tajuddin berkelana diluar negeri lebih dari 20 tahun dan bila Baginda pulang ke Kedah (1842) Setol dan Langu tidak dipulangkan kepada Baginda, malahan Perlis pula disisihkan.

 
  < Sebelum | 2