25 November 2017
[1] [2]

HALAMAN 2
Syair
Syair Kedah Darul Aman
Bab 1 : Hikayat Merong Mahawangsa
Oleh : Abdul Halim "R"
Sumber : Kem. Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia, 2001

Burung Garuda Menerima Hukuman

Putera Rum hanyut tak menentu,
Lalu terdampar di celah batu,
Di Langkapuri pantai di situ,
Badan dan wajah berkerutu.

Puteri cari ketam dan siput,
Diiring Inang bayu berpuput,
Terdengar suara orang semput,
Inang disuruh membuat Iiput.

Putera Rum ditanya Inang,
Mengapa hanyut letih berenang,
Minta jawab dengan tenang,
Tolong cerita boleh dikenang.

Putera Rum terus cerita,
Kisah Garuda buat sengketa,
Habis binasa rombongan mahkota,
Hajat ke Cina jadi derita.

Mak Inang disuruh Puteri,
Pergi bersama dayang berseri,
Sembunyi Putera di gua sendiri,
Air nasi mesti diberi.

Kupang di badan kikis bersama,
Hingga bersih beberapa lama,
Pakaian Inang diberi percuma,
Bereskan sebelum Garuda jelma.

Saban hari Inang pelihara,
Kian sihat segak Putera,
Cari pakaian berakal bicara,
Agar Garuda tidak ketara.

Bila Garuda datang berjumpa,
Puteri Cina terus menyapa,
Semua makanan tak kurang apa,
Cuma pakaian tidak seberapa.

Garuda tanya beri harapan,
Di mana kain Puteri simpan,
Akan diambil bawa ke depan,
Boleh Puteri bersiap-siapan.

Garuda kata jangan bimbang,
Puteri akan ke Cina terbang,
Tak lama lagi hari di ambang,
Sesuai janji seperti tersembang.

Tempat pakaian dicerita Puteri,
Benua Cina istana negeri,
Dalam bilik Puteri sendiri,
Garuda boleh pergi cari.

Garuda terbang ke Negeri Cina,
Kelam kabut jadikan suasana,
Dapat dicari pakaian di mana,
Peti diterbang ke Langkapuri sana.

Pakaian diserah kepada Puteri,
Lalu Garuda hilangkan diri,
Puteri pilih pakaian sendiri,
Bila dipakai indah berseri.

Putera Rum Puteri Cina,
Sama elok sama kena,
Jatuh cinta penuh makna,
Garuda tak tahu semua rencana.

Seminggu Garuda datang semula,
Putera ke gua sediakala,
Gua ditutup elakkan bala,
Berpisah mereka buat berkala.

Garuda mengadap Nabi Sulaiman,
Cerita semua pengalaman,
Puteri Cina dalam genggaman,
Dipelihara pula dengan aman.

Putera Rum punya angkatan,
Garuda akui laku perbuatan,
Semua binasa dalam lautan,
Tertunai janji seperti tuntutan.

Semua yang hadir telah ketawa,
Mendengar cerita yang dibawa,
Garuda tetap seperti terdakwa,
Nyahkan diri andai kecewa.

Nabi Sulaiman perintah segera,
Suruh jin berbudi bicara,
Ke Langkapuri seberang samudara,
Ambil mereka tanpa cedera.

Mereka berempat masuk ke peti,
Lalu diterbang jin sakti,
Menghadap Nabi yang menanti,
Garuda terkejut hampir mati.

Nabi bersabda empat perkara,
Rezeki maut jangan dikira,
Jodoh bercerai juga setara,
Kehendak Allah yang ketara.

Garuda merasa amat lara,
Pohon ampun segala angkara,
Terpaksa nyah hujung segara,
Di laut Kalzum sedih sengsara.

Harman Shah jin utama,
Dengan seribu para panglima,
Bawa pengantin pengasuh bersama,
Ke Negeri Cina dengan saksama.

Surat Nabi dibawa serta,
Ke Negeri Cina istana kota,
Raja Cina menurut kata,
Puteri dinikah Putera mahkota.
 
      
Permulaan Negeri Kedah

Raja Merung di Pulau Seri,
Telah bertanya kepada menteri,
Apakah ada lagi negeri,
Mempunyai anak gadis berseri.

Menteri telah berkabar berita,
Agak jauh menurut cerita,
Kelinggi namanya ikut warta,
Benda ajaib di situ tercipta.

Raja Merung terus bicara,
Titah bersurat dengan segera,
Minta tempayan besarnya tera,
Sebagai tanda sahabat saudara.

Dengan perahu belayar menteri,
Bawa barangan bersama diri,
Ke Kelinggi segera hampiri,
Akhirnya tiba negeri dicari.

Ketika itu ada di sana,
Utusan Rum ke Negeri Cina,
Sedang mengadap paduka di istana,
Hendak cari Raja Merung di mana.

Raja Kelinggi dengar cerita,
Hajat Raja Merung yang tercita,
Ingin tempayan besar tercipta,
Sesuai Gergasi dan Bota.

Tempayan diraja telah diberi,
Usung ke bahtera Rum seri,
Perahu ranap dikhuatiri,
Tumpang bahtera teman sendiri.

Besar sekali tempayan itu,
Tukangnya Gergasi ciptaan bermutu,
Tinggi umpama bukit batu,
Beranak tangga naiknya tentu.

Selesai dimuat beberapa hari,
Raja Kelinggi surat diberi,
Tanda muhibah antara negeri,
Bersahabat setia di sanubari.

Kapal Rum dengan muatan,
Diiring perahu berdekatan,
Bila tiba ke tambatan,
Lalu berlabuh kepenatan.

Masuk mengadap raja junjungan,
Timbul kembali semua kenangan,
Utusan Rum cerita berpanjangan,
Tujuan sebenar jadi pegangan.

Raja Merung ingin kembali,
Negeri Rum tempat asali,
Menteri Rum setuju sekali,
Langkasuka hendak ditinggali.

Putera Raja Merung bistari,
Tabalkan dulu jaga negeri,
Hanya keturunan mereka yang seri,
Baharu berjaya raja bersiri.

Utusan ke Aceh telah pulang,
Hadiah dan surat tidak berselang,
Baginda suka bukan kepalang,
Semua hasrat tidak tergalang.

Raja Merung ria bersuka,
Untuk tabal putera paduka,
Puluhan hari temasya dibuka,
Makan minum enak belaka.

40 malam 40 hari,
Putra mahkota kahwin puteri,
Pembesar bersara anak diberi,
Gentian waris pegawai dan menteri.

Raja Merung Mahapudisat,
Gelar berdarjat di negeri pusat,
Sebutan negeri janganlah sesat,
Elok namakan dengan pesat.

Negeri Kedah Zamin Tauran,
Nama baru sebagai gelaran,
Mahapudisat diberi ganjaran,
Makmurkan negeri antara jiran.

Tempayan besar teguh sasa,
Dibawa ke darat tidak tergesa,
Di pohon rokam letak selesa,
Untuk Merung Mahawangsa.

Usia Mahawangsa berlarutan,
Pulau-pulau menjadi daratan,
Pulau Seri bersatu tautan,
Demikian lama duduk penempatan.

 
  < Sebelum | 2