28 July 2017
[1] [2] [3]

HALAMAN 2
Syair
Syair Kenang-kenangan, Yapsai dan Taman Penghiburan

1360 - 1364
1941 - 1945

SYAIR TAMAN YAPSAI

Umpama mahligai dari kayangan
Istana sultan bayang-bayangan
Berbilik berpetak berhubung-hubungan
Berbagai rupa bermacam cawangan

Bukan senegeri sahaja masyhur
Laksana bunga kembang duhur
Di seluruh semenanjung hingga ke Johor
Entah ke India sampai ke Lahor

Qandil berkarang berkilau-kilauan
Permainan teratur mata jamuan
Berhimpun sekalian lelaki perempuan
Harum semerbak maka bau-bauan

Melayu Cina sama sekali
Hindu cati waima Banggali
Alim ulamak sahaja berkecuali
Sekadar lebai tidak peduli

Sekadar haji yang tak bersungguh
Iman pun juga tiada berteguh
Melawat juga tiada bertangguh
Di meja Yapsai ada merangguh

Ditinggal jubah dirungkai serban
Diganti dengan topi terban
Kerana Yapsai diri korban
Dosa di kepala sudah terbeban

Nak kata syurga bukan akhirat
Di sini tak harus hamba ibarat
Dengan sesungguhnya di situlah jerat
Tersilap langkah boleh mudarat

Minuman makanan berbagai bangsa
Sate pasembur rojak laksa
Ayam pulas itik angsa
Sedap semua apa dirasa

Teh kopi serbat umpama
Nenas pisang betik bersama
Roti kacang tembikai uma
Nipon sigerek cerut Burma

Tiadalah sesuatu yang kekurangan
Serba aneka jenis sebarangan
Meskipun masa dalam peperangan
Terdedah tersedia berkarang-karangan

Apakah nama tempat itu
Berpagar zink berpintu satu
Manusia berhimpun seperti kekatu
Tiap-tiap malam sudahlah tentu

Taman penghiburan nama digelar
Tiga warna bendera berkelar
Lelaki perempuan di situ menyelar
Laksana di belukar sarangan ular

Meja teratur di sekeliling pagar
Di situ berhimpun sekalian saudagar
Tiap-tiap malam mereka melanggar
Bertempik sorak seperti tagar

Bukanlah saudagar sahaja menziarah
Bahkan senegeri serata daerah
Laksana rakyat terkena kerah
Di situlah wang mereka mencurah

Dari selatan hingga utara
Timur barat langsung tenggara
Jauh dekat tiada dikira
Ke taman juga maka dimara

Dari selatan hingga utara
Timur barat langsung tenggara
Jauh dekat tiada dikira
Ke taman juga maka dimara

Supaya meja bertambah seri
Satu meja satu puteri
Habuan penyabung pegang jari
Janganlah mula dibawa pelari

Tetapi jika ada berjuara
Dengan tauke dahulu bicara
Wang pula jangan dikira
Puteri pun boleh dipinjam sementara

Satu meja sepuluh mata
Wang berkapar tiada derita
Dengan sesaat sekejap mata
Yapsai lalu pokua berkata

Wang penikam pokua pun sapu
Masuk berhimpun di dalam cepu
Pokua dah memang pandai menipu
Tinggal penyabung jadi merapu

Laki isteri bersatu hati
Kerana suaminya memberi titi
Kain dipakai sungguh dan luti
Ke meja Yapsai tiada berhenti

Sekali ditikam sekali hilang
Yapsai menyapu tiada berselang
Isteri di belakang duduk membilang
Lalu diajak suaminya pulang

Suami berkata janganlah bebal
Modal kita lagi bertebal
Berilah ku pinjam kain sebal
Supaya ku jual ku tikam dabal

Isteri termakan suami memujuk
Lalu kain sebal ke suami diunjuk
Isteri reda menahan sejuk
Asal pokua jangan merajuk

Pokua pun membuka mulut ternganga
Luas umpama mulut belanga
Garangnya pula seperti singa
Nak telan pula subang telinga

Subang di telinga pula ditelan
Gelang di tangan pula bekalan
Isteri pun lalu berasa mengkelan
Takut pula lapar terjelan

Lepas subang gelang pula
Dengan murah harga ditolak
Di dalam hati Pokua tergelak
Penyabung nak jadi mangsanya kelak

 
  < Sebelum | 2 | Selepas >