Konsep Berkat
'Berkat' dapatlah diertikan sebagai pemberian istimewa Allah S.W.T. kepada makhluknya berdasarkan ibadatnya. Di sini menunjukkan permintaannya telah dikabulkan oleh Allah S.W.T. Tanpa adanya berkat, seseorang itu tidak boleh menjadi bomoh.
Pada amnya, berkat itu boleh diperolehi dari dua cara:-
i) Melalui pemberian Tuhan. ii) Bergantung kepada corak hidup seseorang itu.
Yang pertamanya, berkat melalui pemberian Tuhan ialah seseorang yang inginkan berkat mestilah sentiasa berdoa kepada Tuhan meminta hidupnya diberkati. Oleh itu wali-wali Tuhan kebanyakannya ialah bomoh, kerana hidup mereka dikatakan berkat dan segala permintaannya dikabulkan Tuhan. Wali-wali merupakan orang yang mempunyai taraf yang tinggi di sisi Tuhan. Melalui amalan-amalan dan doa-doa kepada Tuhan hidup mereka diberkati.
Yang kedua pula bergantung kepada corak kehidupan seseorang itu. Ini bermakna seseorang itu pandai mengatur ekonomi rumah tangganya serta kehidupannya. Dia tidak boros tidak tentu hala dan tidak pula kedekut. Di samping bekerja dan menjaga ekonomi hidupnya, ia juga mestilah berdoa supaya ia akan diberkati Tuhan. Dengan ini, seseorang itu akan mendapat kehidupan yang aman dan sentosa selalu. Segala yang dilakukannya itu akan memberi manfaat atau kebaikan pada dirinya dan juga kepada orang lain.
Bakul Pengkeras
Bakul pengkeras merupakan sebuah bakul yang dianyam seperti tikar dan di dalamnya diletakkan barang-barang seperti sebiji kelapa, sedikit beras, wang pengeras 25 sen dan lain-lain lagi. Bakul pengkeras merupakan bayaran asas kepada bidan. Pelanggan atau pesakit boleh menambah barang-barang lain seperti kain baju dan sebagainya jika mereka mahu sebagai tanda penghargaan.
Sistem kepercayaan dan tafsiran persekitaran di Kedah
Asas kepada tafsiran persekitaran berkenaan dengan penyakit dan pengubatannya berpunca daripada kepercayaan bahawa terdapatnya gangguan "supernatural" terhadap kehidupan manusia.
Komponen Manusia
Tiap-tiap bomoh mempunyai pandangan yang tersendiri tentang komponen badan seseorang manusia. Berdasarkan kepada pandangan mereka inilah, perubatan diolah supaya dapat disesuaikan dengan keadaan badan seseorang manusia itu. Misalnya bomoh yang terlibat di dalam pengubatan batiniah menumpukan perhatian pada komponen-komponen manusia dari segi roh jasad dan rohani.
Bagi seseorang yang mengubat penyakit patah tulang pula, komponen manusia dilihat dari segi bilangan tulang yang terdapat di dalam badan manusia, panjang pendeknya dan kedudukan tulang itu serta sarafnya. Bomoh yang memusatkan pengubatannya pada penggunaan akar kayu pula akan memilih elemen badan seseorang itu yang dikatakan terdiri daripada elemen-elemen tanah, air, api dan angin. Akar-akar kayu yang digunakan adalah supaya seimbang dengan keempat-empat elemen tadi.
Konsep Penyakit
Penggunaan istilah 'sakit' pada orang-orang Melayu Kedah adalah luas iaitu dari merasai sakit seperti 'sakit kepala' sehinggalah kepada menerangkan keadaan-keadaan yang melibatkan emosi dan fizikal.
Apabila adanya keadaan-keadaan seperti ini terdapat ah1i atau pakar-pakar yang akan cuba memulihkan 'sakit' ini. Di dalam masyarakat Melayu Kedah, seorang bomoh dikaitkan dengan pengubatan penyakit.
Jenis-jenis penyakit yang diubati dan teknik pengubatan yang diamalkan di Kedah:
Secara kasar, orang yang sakit dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu orang yang mengalami gangguan emosi, orang yang sakit tubuh badan dan orang yang mengalami kedua-duanya sekali.
i) Orang yang mengalami gangguan emosi
Orang yang mengalami gangguan emosi adalah disebabkan oleh gangguan rohani atau semangat yang lemah. Di dalam kategori ini juga boleh dimasukkan gangguan-gangguan dari benda-benda atau makhluk yang ghaib seperti hantu, syaitan, jin dan sebagainya yang berhubungan dengan penyakit itu. |