Makhluk ghaib
Menurut pendapat beberapa orang bomoh, makhluk ghaib ini kerap mengganggu kestabilan fikiran manusia. Makhluk ini telah dapat mempergunakan manusia sesuka hatinya. Makhluk ghaib yang dimaksudkan di sini terdiri daripada hantu syaitan yang boleh membawa kemudaratan pada manusia. Makhluk ghaib ini berbeza dengan makhluk ghaib yang muncul dalam mimpi.
Menurut pendapat bomoh-bomoh ini lagi, apabila seseorang itu lemah semangatnya (rohaninya), dia senang dirasuk makhluk ghaib. Hantu atau syaitan adalah benda seni yang mengacau manusia. Hantu atau syaitan ini akan mengganggu rohani. Apabila rohani diganggu, semangat seseorang itu menjadi tidak tentu hala dan akal fikirannya kacau bilau. Di dalam mengubati pesakit yang dirasuk hantu tadi, bomoh berperanan mengembalikan rohani kepada bentuk yang sediakala.
Seperti yang diketahui, rohani boleh dipengaruhi dan mempengaruhi, maka elemen seperti hantu syaitan boleh mempengaruhi semangat seseorang itu. Semangat seseorang itu boleh menjadi lemah ketika demam, sakit atau semasa fikiran melayang jauh (berangan-angan). Bagi orang yang kena ubat guna-guna atau terkena hikmat orang, rohanilah yang dipengaruhi, kerana rohani sentiasa boleh masuk dan keluar daripada badan.
Hantu atau makhluk ghaib juga akan merasuk orang-orang yang lemah badannya. Kalau badan seseorang itu tidak lemah, agak susah bagi hantu untuk merasuknya. Makhluk ghaib ini akan masuk ke dalam badan mangsanya mengikut kesukaannya sendiri. Disebabkan 'ia' merupakan benda halus dan tidak mempunyai bentuk badan, ia boleh masuk ke dalam badan manusia melalui rongga bulu roma dan anggota-anggota lain pada badan manusia.
Satu cara lain makhluk ghaib ini boleh memasuki badan manusia ialah melalui hujung-hujung jari. Yang kerap sekali makhluk ini memasuki badan manusia ialah melalui jari hantu. Jari hantu ialah jari tangan yang tengah. Selain daripada itu, ada juga yang masuk ke da1am badan manusia melalui ubun kepala.
Terdapat dua keadaan di mana seseorang itu dirasuk hantu. Yang pertamanya ialah hasil daripada ubat guna-guna atau dalam perkataan lain hasil perbuatan orang. Seseorang yang membela hantu akan menghantarkan hantunya kepada orang yang tertentu mungkin kerana sakit hati dan sebagainya. Orang yang kena rasuk hantu seperti ini akan bertemu bomoh. Dalam hal ini, apabila orang seperti ini datang kepada bomoh, bomoh akan 'kunci' hantu tadi. Caranya ialah menjampi kapur dan dicalitkan pada ibu jari dan ibu kaki. Kemudian lada hitam diambil dan dipicitkan pada jari ibu kaki. Apabila keadaan ini dilakukan, hantu tadi diistilahkan sebagai 'terkunci'. Hantu itu kemudiannya kalau ditanya akan memberitahu siapa ibu bapanya dan dari mana ia datang. 'Ibu bapa' yang dimaksudkan di sini ialah orang-orang yang menghantarnya mengganggu pesakit tadi.
Yang keduanya, dirasuk hantu disebabkan 'terkena'. Ini boleh terjadi apabila seseorang melalui satu-satu tempat tertentu ataupun rimba tanpa memberi 'tabik' terlebih dahulu kepada penunggunya. Hantu yang mengganggu manusia dalam keadaan-keadaan seperti ini ialah seperti hantu rimba, hantu laut, hantu panah lintar dan sebagainya. Semasa lalu lalang, semasa membuang air kecil atau air besar di tempat-tempat keras, jin atau hantu masuk ke dalam badan manusia melalui ubun-ubun kepala atau dihembus pada penyawa. Apabila hantu ini masuk ke dalam badan manusia, ia akan menghisap 'ulu hati' manusia. Ini menjadikan orang yang kena rasuk tadi susah untuk bernafas dan hantu tadi boleh mengambil alih badan manusia sesuka hatinya.
(ii) Orang yang sakit tubuh badan
Bagi orang yang sakit tubuh badan penyakit-penyakit yang terdapat dalam tubuh badannya ialah seperti barah, kayap, batu karang, kencing manis, lemah jantung, penyakit kulit, darah tinggi dan lain-lain lagi. Penyakit tubuh badan ini selain daripada menggunakan jampi, para bomoh juga akan menggunakan ramuan-ramuan atau bahan-bahan yang terdiri daripada jenis-jenis akar kayu.
(iii) Membuat hikmat pada orang.
Selain daripada fungsi bomoh sebagai pengubat penyakit terdapat juga bomoh yang menggunakan ilmu mereka untuk membuat hikmat pada orang lain. Di dalam hal ini termasuklah juga membuat ubat guna-guna. Misalnya di waktu majlis perkahwinan, bomoh boleh membuat nasi yang dimasak menjadi mentah, daging melompat keluar dari periuk dan sebagainya. Ini bertujuan untuk mengacau-bilaukan majlis perkahwinan serta memalukan tuan rumah.
Teknik Pengubatan
(i) Mimpi
Di antara berbagai-bagai teknik yang terdapat di dalam perubatan secara tradisional, terdapat satu teknik yang amat menarik digunakan oleh bomoh-bomoh. Teknik ini adalah melalui mimpi. Mimpi yang dimaksudkan di sini adalah mimpi yang dialami oleh para bomoh pada waktu malam sewaktu tidur. Mimpi merupakan satu faktor yang sangat penting bagi bomoh-bomoh yang berada di tahap awalan atau di dalam 'latihan' menjadi bomoh. Fenomena ini jelas terutamanya bagi bomoh-bomoh yang memperolehi ilmu perbomohan melalui keturunan. Selepas mengalami beberapa peristiwa tertentu, bomoh ini akan mengalami mimpi pula.
Mimpi yang dialami oleh bomoh terdiri daripada dua iaitu mimpi khas dan mimpi biasa. Mimpi khas ini mempunyai beberapa sifat yang tertentu pula. Biasanya orang-orang yang dimimpikan itu terdiri daripada orang tua sama ada lelaki atau perempuan. Mereka berpakaian serba putih dan akan memperkenalkan dirinya kepada bomoh yang bermimpi. Orang ini dikenali sebagai 'wali kesakti'. Mereka telah mati dan menjelma dalam mimpi. Pada masa hayatnya mereka terdiri daripada orang-orang megah ataupun orang-orang besar dan ternama di dalam bidang pengubatan.
Seperti yang tersebut di atas, orang-orang ghaib ini berpakaian serba putih dan kedatangan mereka adalah pada malam-malam tertentu sahaja seperti malam Jumaat dan malam Selasa. Pakaian yang serba putih ini mungkin melambangkan orang yang sudah mati. Putih juga mungkin melambangkan kesucian.
Kedatangan pada hari-hari yang tertentu oleh 'makhluk ghaib' ini mungkin ada kepentingannya. Hari Jumaat mempunyai beberapa keistimewaan daripada pandangan Islam. Hari Selasa pula menurut kepercayaan bomoh adalah satu hari yang berkat. Hari Selasa dikaitkan dengan perubatan di mana terdapat kepercayaan kononnya anak-anak yang dilahirkan pada hari Selasa pada satu hari akan menjadi bomoh.
Di dalam bermimpi, orang tua atau makhluk ghaib akan mengajar bomoh cara-cara mengubati seseorang. Selain daripada itu, bomoh-bomoh juga akan diberi ramuan-ramuan bagi pengubatannya.
(ii) Menurun
Menurun merupakan satu fenomena di mana seorang bomoh berada di dalam keadaan yang seolah-olah tidak sedarkan diri ('trance'). Keadaan ini merupakan kemuncak di dalam pengubatan seseorang bomoh dan hanya digunakan bagi kes-kes yang teruk sahaja. Semasa menurun ini, para bomoh mendakwa mereka tidak sedar akan apa yang mereka lakukan. Oleh kerana kes yang melibatkan menurun merupakan kes-kes penyakit yang berat, maka makhluk ghaib perlu campur tangan di daIam pengubatan tadi.
Kebanyakan bomoh yang menurun melakukannya disebabkan oleh ilmu yang dipelajarinya sendiri. Mereka yang menurun selain daripada menggunakan doa-doa yang tertentu juga bergantung banyak pada 'makhluk ghaib'. Pesuruh atau makhluk ghaib merupakan faktor utama terjadinya keadaan menurun ini.
Satu hal yang agak unik di sini, di dalam keadaan tidak sedarkan diri, bomoh akan melakukan perlakuan-perlakuan yang ganjil. Perlakuan-perlakuan di sini adaIah di luar batasan perlakuan manusia yang rasional.
Terdapat satu keistimewaan pada bomoh, bidan yang menggunakan 'makhluk ghaib'. Keistimewaannya ialah, bomoh ini boleh mengubati seseorang tanpa hadir di tempat orang yang sakit. Misalnya kalau bidan yang tidak menggunakan pertolongan 'makhluk ghaib', terpaksa melakukan segala urut-mengurut untuk seseorang yang sakit itu, tetapi keadaan sebaIiknya akan terjadi kepada bidan yang menggunakan 'makhluk ghaib'. Misalnya pada malam hari pesakit kepada bidan tadi merasa sakit atau sengal tubuh badannya, si pesakit akan merasa seolah-olah dirinya sedang diurut oleh seseorang pada hal bidan ini tidak hadir sama. Ilmu seperti ini selalunya turun-temurun iaitu diperturunkan dari satu generasi kepada generasi selepasnya. |