06 November 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 2
Cerita Rakyat
Hikayat Terung Pipit
Bab 1 :
Oleh : Panglima Ali Mudin bin Panglima Hasan
Sumber : Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985

Syahadan, maka ada sepohon kayu merbau turus negeri Lindung Bulan itu bernama merbau lekir bercabang tiga. Maka Raja Sulung Jawa pun inginlah di dalam hatinya hendak perbuat mahligai. Maka kepada suatu hari baginda sedang dihadap oleh sekalian demang, temenggung dan menteri penggawa, rakyat bala sekalian penuh sesak di balai peseban agung. Maka titah Raja Jawa kepada orang sekalian, "Hai sekalian tuan-tuan di penghadapan beta, siapatah yang cakap berani menumbangkan pohon merbau lekir bercabang tiga ini serta perbuatkan beta sebuah mahligai?"

Maka seorang pun tiada berani menyahutkan perkataan Raja Jawa itu.

Maka di dalam antara orang banyak itu adalah seorang hulubalang baginda yang dibawa bersama-sama dari Tanah Jawa, bernama Wan Cik Wan Long Pengantin Raja. Maka ia pun bertelut mengangkat jari menyusun di atas kepala, katanya, "Sampun Pekulun tuan batu kepala, jika dengan titah patiklah hendak perbuat kerja."

Maka Raja Jawa pun menyerahlah (memberilah) sekalian perkakas serta dengan rakyat bala yang hendak perbuat kerja itu ke tangan Wan Cik Wan Long Pengantin Raja.

Maka Wan Cik Wan Long pun menerima anugerahan Raja Jawa, lalu bermohon pulang pergi perbuat kerja sepertimana titah raja itu.

Hatta, maka tiada berapa lamanya Wan Cik duduk perbuat kerja itu, maka mahligai itu pun sudahlah, terlalu amat indah perbuatannya; sampailah sepertimana maksud RajaJawa itu.

Maka Raja Jawa pun terlalu sukacitanya melihat perbuatan Wan Cik Wan Long Pengantin Raja.

Maka diangkat oleh Raja SulungJawa gelaran akan Wan Cik Wan Long itu, iaitu Wan Cik Datuk Maharaja Dinda.

Maka tiada berapa lamanya setelah Wan Chik mendapat ge1aran Wan Cik Datuk Maharaja Dinda itu, maka kepada suatu hari Datuk Wan Cik Maharaja Dinda pun masuk mengadap Raja Jawa memohon pinta menjadi Syahbandar Raja Kuala.

Maka diperkenan oleh Raja Jawa sepertimana permintaan Datuk Wan Cik Maharaja Dinda itu, lalu diangkat gelaran pula akan Wan Cik itu, iaitu Wan Cik Antan Besi Antan Tembaga Selampit nama dia Lindung Bulan Kedah Tua.

Maka setelah sudah Wan Cik mendapat menjadi syahbandar itu maka Selampit pun menimbaulah sebuah penjajap tembaga tiang tiga terlalu besamya, cukup sekali dengan perkakas alat senjatanya.

Maka Selampit pun minta kepada Raja Jawa sepucuk meriam kesaktian yang bernama siam bayu sang gingga, gentar bumi gunung berlaga, tujuh guk sembilan gentala; jika meletup siam bayu itu orang mengandung putera sembilan bulan gugur be1aka, kera di julai pun jatuh ke bumi ke tanah yang rata, kerang di laut pun naik ke daratan belaka; dan kayu bakau tengar di pantai pun habis tinggal lurus sahaja, tujuh hari pelurunya menggila tiga belit Pulau Perca, langsung jatuh di tanah yang mulia, langsung mati di hulu kepala kubur Tuk Hawa.

Demikianlah halnya siam bayu sang gingga itu. Maka baginda Raja Jawa pun memberilah meriam itu ke tangan Selampit Syahbandar Raja Kuala.

Maka Se1ampit itu selama ia menjadi Syahbandar Raja Kuala itu, terlalu amat sahanayanya (aniayanya). Maka sekalian perahu dagang senteri yang masuk keluar ke Lindung Bulan Kedah Tua itu, diambil cukai belaka dan sekalian Keling, Cina, Siam, Melayu yang masuk bemiaga itu, jika bantah daripada hukumnya itu dirampas Selampit putih mata sekaliannya itu tiada kata apa.

Demikianlah halnya Selampit itu selama ia menjadi Syahbandar Raja Kuala itu. Maka sekalian perahu dagang senteri pun tiadalah berani masuk bemiaga ke Lindung Bulan Kedah Tua, kerana takut akan Selampit Raja Kuala itu.

Maka negeri Lindung Bulan sunyilah kerana sekalian saudagar tiada berani masuk bemiaga. Maka dengan hal yang demikian itu terdengarlah khabar kepada baginda Raja Sulung Jawa. Maka titah Raja Sulung Jawa suruh panggil Selampit itu hendak ditanya periksa.

 
  < Sebelum | 2 | Selepas >