29 June 2017
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 3
Cerita Rakyat
Hikayat Terung Pipit
Bab 1 :
Oleh : Panglima Ali Mudin bin Panglima Hasan
Sumber : Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985

Maka Selampit Syahbandar Raja Kuala pun takut tiada berani naik mengadap Raja Sulung Jawa Lindung Bulan Kedah Tua itu. Maka dua tiga kali dipanggil oleh Raja Sulung Jawa Selampit Raja Kuala tiada datang mengadap.

Maka Raja Jawa pun murkalah kepada Selampit Raja Kuala, diberi titah sekalian hulubalang, menteri disuruh pergi ambil dengan kerasnya, jika ia melawan disuruh tangkap ikat dengan segeranya.

Maka terdengarlah khabar itu kepada Wan Cik Antan Besi Antan Tembaga Selampit Raja Kuala. Maka ia pun larilah keluar dari Lindung Bulan Kedah Tua, lalu keluar ke laut lantara, belayar menuju Johor Mengkaleh Tanah Jata. Selang tiada berapa hari lamanya Selampit belayar itu, maka Selampit pun sampai ke Johor Mengkaleh Tanah Jata. Maka Selampit pun naik ke daratan langsung masuk mengadap Raja Bongsu Johor Mengkaleh TanahJata.

Maka Raja Bongsu pun bertanyalah akan hal kepada Selampit apa dengan mulanya yang boleh keluar dari Lindung Bulan Kedah Tua itu. Maka Selampit pun berceritera segala perihal ehwal dari mula sampai akhirnya.

Maka Raja Bongsu pun terlalu sukacitanya mendapat Selampit itu, kerana Selampit itu bukan barang orang kepada zaman itu, serta dengan gagah perkasanya; sekalian besi alat senjata yang turun ke dalam dunia ini habis bertakluk berdengan dia.

Maka Raja Bongsu pun mengangkat akan Selampit itu menjadi Syahbandar Raja Kuala juga, kerana Selampit terlalu sukanya menjadi Syahbandar Raja Kuala itu, dan sebarang apa yang dikehendak oleh Selampit semuanya dibagi (diberi) oleh Raja Bongsu, dan barang apa kata Selampit itu semuanya diturut belaka.

Maka Selampit pun kekallah menjadi Syahbandar Raja Kuala di Johor Mengkaleh Tanah Jata. Demikianlah halnya Selampit itu.

Sebermula, maka tersebutlah pula perkataan Raja Sulung Jawa di dalam negeri Lindung Bulan Kedah Tua. Telah beberapa lamanya sepeninggal Selampit keluar dari Lindung Bulan itu maka baginda pun duduklah bersukaan dengan segala hulubalang, menteri penggawa sekalian tiada berputusan lagi sehari-hari.

Maka akan di negeri Lindung Bulan itu pun amanlah selamat sentosa, akan tetapinya Raja Sulung itu bercintaan juga sebab tiada beroleh putera; beberapa berniat berkaul pun tiada diperolehnya. Akan isteri baginda Raja Sulung Jawa itu dua orang, isteri yang tuanya bernama Tuan Puteri Rakna Juita dan isteri baginda yang mudanya itu bernama Tuan Puteri Bongsu Emas Payung Mahkota, terlalu baik parasnya.

Maka selang tiada berapa lamanya daripada itu, maka isteri baginda Raja Sulung Jawa yang tuanya itu pun hamillah. Maka terlalu sukanya Raja Sulung Jawa itu melihatkan isterinya hamil itu. Maka Raja Sulung Jawa pun berniatlah, katanya, "Jika putera aku ini laki-laki, aku hendak mencari pakaian bagikan (berikan) kepada puteraku itu, pakaian yang tiada di dalam negeri Lindung Bulan Kedah Tua ini."

Maka telah tiada beberapa lamanya genaplah bulannya Tuan Puteri Rakna Juita itu, kepada ketika yang baik dan saat yang sempurna maka Tuan Puteri itu pun sakitlah, lalu berputera seorang anak laki-laki terlalu amat baik rupa parasnya, putih kuning panjang nipis perdana agung sikapnya seperti indera dewa kayangan, manis seperti laut madu, barangsiapa memandang akan dia lenyap roh semangatnya oleh memandangkan paras anakanda baginda itu; tiadalah banding lagi akan parasnya di dalam seluruh Tanah Jawa, di seisi Tanah Melayu.

Maka dinamakan ayahanda baginda Raja SulungJawa akan anakanda baginda itu Pekulun Duli Baginda.

Maka terlalulah kasih sayangnya Raja Jawa laki isteri akan anakanda baginda itu, dibela peliharanya cukup lengkap dengan inang pengasuhnya, betapa sepertimana adat raja yang besar-besar. Demikianlah dipeliharakan baginda akan anakanda baginda itu, serta diambilnya pula oleh baginda akan anak ipar baginda anak menteri seorang bernama Terung Pipit, dan anak hulubalang bernama Gelam, dan seorang lagi anak demang bernama Jerun.

Sekaliannya saudara sepupu dengan anakanda baginda Pekulun Duli Baginda diambil oleh baginda. Maka sekaliannya diambil baginda dibela pelihara sama dengan anakanda baginda, makan minum tidur bangkit pun bersama-sama.

Demikianlah halnya Raja Sulung Jawa Lindung Bulan Kedah Tua itu.

Setelah sudah baginda beroleh putera itu, maka baginda Raja SulungJawa pun bersiaplah hendak pergi mencari pakaian anakanda baginda sepertimana baginda berniat itu. Maka baginda pun menitahkan kepada sekalian menteri hulubalang menyiapkan sebuah kapal, iaitu kapal besi, tiang tiga yang dibawa oleh baginda daripada Tanah Jawa.

 
  < Sebelum | 3 | Selepas >