01 November 2014
[1] [2]

HALAMAN 1

Asal-Usul Nama-Nama Tempat Di Negeri Kedah

TOK JALAI
    Oleh Tn. Haji Abdul Hamid

Menurut Tn. Haji Abdul Hamid, nama Tok Jalai diberikan berdasarkan nama seorang penduduk iaitu Jalai. Jalai adalah penduduk yang paling tua dikawasan berkenaan pada ketika itu. Beliau merupakan ketua rombongan perniagaan barang-barang runcit dan peralatan rumah sekitar tahun 1894. Oleh kerana beliau seorang tua, orang-orang kampung amat menghormatinya dan memanggilnya dengan gelaran “Tok”. Tok Jalai dikatakan datang dari selatan Thai dan hendak menuju ke Pulau Pinang tetapi singgah di kampung berkenaan lalu bermastautin dan meninggal di kampung berkenaan pada usia 150 tahun. Beliau dikatakan berasal dari Pattani dan berkebolehan bertutur dalam 4 bahasa iaitu bahasa Siam, bahasa Thai, bahasa Melayu dan bahasa Arab.

     PEKAN KODIANG
    Oleh Tn. Haji Abdul Halim

Pekan Kodiang seperti yang diketahui terletak di antara sempadan negeri Kedah dan Perlis. Menurut Tn. Haji Abdul Halim, nama “Kodiang” itu berasal dari nama Siam iaitu “Kok” atau “Kor” yang bermaksud pulau atau belukar. Manakala “Deng” pula bermaksud merah. Oleh itu rangkaian kata Kokdeng itu boleh diertikan sebagai “Pulau Merah” atau “Belukar Merah”. Namun begitu, akhirnya ia dipanggil “Kodiang” untuk disesuaikan dengan lidah orang Melayu. Menurut cerita orang dahulukala, kawasan Kodiang itu dahulunya merupakan lautan yang akhirnya terjadi mendapan lalu timbullah pulau-pulau kecil dan muncullah beberapa buah bukit. Sehingga kini masih terdapat beberapa buah sungai yang dikelilingi oleh sawah. Satu perkara yang menarik ialah diatas bukit-bukit di sekitar Kodiang iaitu Gua Pasir, Gua Angin, Gua Kerbau dan lain-lain, sehingga kini masih terdapat tulang-tulang dan kerangka-kerangka hidupan laut. Begitulah asal nama Kokdeng yang telah ditukar menjadi Kokdiang yang asalnya dikataka n bermaksud Bukit Merah atau Belukar Merah.

     ALOR MERAH
    Oleh Tuan Haji Salleh

Menurut Tuan Haji Salleh nama Alor Merah berasal daripada individu yang bernama Tok Merah. Beliau tinggal di hujung sebatang Alor. Gelaran Tok Merah diperolehi berikutan aktiviti Tok Merah yang banyak memelihara kerbau. Beliau dikatakan sering membawa kerbau-kerbaunya itu ke sungai Anak Bukit. Dikatakan Alor yang dilalui oleh Tok merah yang pada asalnya kecil lama-kelamaan menjadi alor yang sangat besar.

Pada versi yang lain pula, asal-usul “Alor Merah” dikatakan berasal daripada penggunaan baja dari najis kelawar yang dibakar. Apabila baja tersebut ditabur ke dalam bendang, air bendang tersebut akan menjadi merah. Seterusnya air daripada bendang itu akan disalirkan ke dalam sungai lalu menjadikan air sungai berkenaan bertukar menjadi merah.

Selain daripada itu, versi ketiga menurut Tuan Haji Salleh adalah melalui buku karangan Tan Sri Zahir bertajuk “Bukit Tembaga”. Menurut catatan dari buku berkenaan dikatakan nama Alor Merah berasal daripada aktiviti membuat buyung periuk. Proses membuat buyung periuk memerlukan buyung-buyung periuk tersebut dibakar dan kemudiannya diasah menggunakan seketul batu seperti batu kawi. Batu tersebut diperolehi berdekatan Anak Bulit. Oleh kerana aktiviti mengasah itu dilakukan di tepi sungai dan akibat terlalu banyak air yang digunakan telah menyebabkan air sungai bertukar menjadi merah.

    KAMPUNG TITI BARU
   Oleh Tn. Haji Abdul Rahman Abu Bakar

Kampung Titi Baru terletak diantara Titi Gajah dan Titi Besi iaitu 11 km ke utara Alor Star dan 2 km ke Selatan Kepala Batas. Pada masa dahulu nama kampung tersebut asalnya ialah Kampung Alor Tai. Ini kerana kampung berkenaan mempunyai alor yang dipenuhi pokok-pokok Tai. Namun begitu nama kampung berkenaan sekali lagi ditukar kepada kampung Alor Ganu kerana pada waktu itu dikatakan terlalu banyak tikus di kampung berkenaan.

Apabila perang dunia kedua tercetus, pihak British terpaksa mengambil tindakan meletupkan titi besi di kampung berkenaan untuk melambatkan pergerakan tentera Jepun. Apabila Jepun berjaya menawan Kedah, kemudahan pengangkutan telah disediakan bagi menggantikan titi yang telah dibom. Titi ini didirikan oleh kumpulan India Muslim yang digelar Indian Malabari. Oleh itu, Kampung Alor Ganu telah ditukarkan namanya menjadi Kampung Titi Baru.

    PANTAI JOHOR
   Oleh Dato' Hj.Ismail Salleh

Pantai yang dimaksudkan menurut Dato’ Haji Ismail Salleh ialah pantai sungai dan bukannya pantai laut. Pada masa dahulu, banyak Tuntung naik bertelur. Oleh yang demikian tempat tersebut dipanggil pantai. Kemudian terdapat sebuah batu besar di tengah sungai. Air yang datang daripada Padang Terap akan bertemu dengan air pasang Kuala Kedah. Pertemuan itu dipanggil “air juak”. Juak bermaksud pertembungan air di antara air hulu dengan air kuala. Namun terdapat versi lain yang menyatakan bahawa beberapa orang Johor telah datang dan menetap di situ. Mereka telah membuat penempatan dan tempat terseburt dipanggil “Pantai Johor”.

 
  1 | Selepas >