26 April 2024
[1] [2]

HALAMAN 2

Asal-Usul Nama-Nama Tempat Di Negeri Kedah

KOTA SARANG SEMUT 
Oleh Dato' Hj.Ismail Salleh

Kota Sarang Semut mengikut bahasa Langkasuka dipanggil “Kota Sereng Semut”. Ia menurut Tn. Hj. Ismail Salleh tidak bersangkut paut dengan sarang semut. “Sereng” bermaksud askar tinggal manakala “semet” membawa maksud askar semua. Oleh itu pengertiannya ialah kota yang ditinggalkan oleh askar.

PADANG LUMAT
Oleh Dato' Hj.Ismail Salleh

Nama Padang Lumat telah diberikan berdasarkan kepada kawasan sawah yang luas yang dimiliki oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainol Abidin. Oleh yang demikian penduduk sekitar kawasan berkenaan memanggil “Padang Lemat”. Istilah “Le” membawa maksud mahsyur perlambangan bagi kekayaan Sultan dan istilah “Mat” merujuk kepada singkatan daripada nama Sultan Muhammad atau Mat Jiwa. Namun lama-kelamaan nama tersebuut diubah kepada Padang Lumat. Padang Lumat maksudnya “Padang Mat Masyhur”.

YAN
Oleh Dato' Hj.Ismail Salleh

Perkataan Yan berasal daripada bahasa Siam yang membawa maksud “hentam” atau “pukul”. Penduduk-penduduk di kawasan berkenaan dikatakan sering menjadi sasaran musuh disebabkan kedudukan penempatan mereka berdekatan laut berhampiran pula dengan Gunung Jerai. Oleh yang demikian musuh-musuh yang datang akan terlebih dahulu perlu berhadapan dengan orang-orang Yan.

JALAN KAMPUNG PERAK
Oleh Tn. Hj. Badlishah

Pada satu versi, Jalan Kampung Perak mendapat nama ekoran kedatangan orang-orang Perak yang menetap di situ. Namun pada versi yang lain menurut Tn. Hj. Badlishah, beliau menyatakan bahawa berkenaan telah didiami oleh pembesar-pembesar negeri pada waktu itu. Mengikut satu versi lain, kampung tersebut dibuka oleh Tok Perak.

KAMPUNG PEGAWAI
Oleh Pak Inn

Asal kewujudan Kampung Pegawai ialah permohonan yang dibuat oleh pegawai-pegawai rendah kerajaan pada sekitar tahun 1952 untuk mendapatkan tanah bagi mewujudkan penempatan. Permohonan itu telah diluluskan. Namun apabila mendapati kawasan berkenaan adalah merupakan hutan tebal dengan pokok-pokok nipah tumbuh liar, sebahagian daripada pemohon telah menjual semula tanah berkenaan dengan harga RM 10 hinggan RM 20 satu lot. Hanya sebahagian yang meneruskan usaha memugar tanah di kawasan berkenaan lalu dinamakan Kampung Pegawai.

BUKIT TERIAK
Oleh En. Gurdial Singh

Pada suatu masa iaitu sekitar tahun 1980an, seorang wanita yang sarat mengandung bersama dua orang rakannya telah pergi ke pinggir hutan untuk mencari buah berangan. Namun setelah menjumpai buah beranngan, dua rakan tetrsebut telah pulang terlebih dahulu dan tinggallah wanita yang mengandung itu keseorangan. Dalam usahanya mengumpul buah-buah tersebut, tiba-tiba seekor harimau telah keluar dari dalam hutan dan terus menyerang wanita berkenaan dan kebetulan telah sampainya masa wanita tersebut melahirkan anak. Wanita berkenaan sempat melahirkan anaknya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kesan daripada tangisan bayi yang baru dilahirkan itu, penduduk-penduduk kampung datang beramai-ramai untuk memberi pertolongan. Kejadian tersebut telah meninggalkan sejarah ynag tersendiri bagi penduduk kampung lalu menamakan kawasan berkenaan sebagai “Bukit Teriak”.

 
  < Sebelum | 2