|
Telaga Mahsuri |
Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang ia pun berjalan balik dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku.
Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi.
Mek Andak pun menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali ia memasak nasinya, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak pun makanlah seperti biasa.
Beberapa bulan kemudian Mek Andak pun mengandung sekali lagi. Selain daripada berladang padi untuk menambah pencarian keluarganya, Pandak Maya biasa pergi ke dalam hutan tidak jauh dari rumahnya kerana mencari damar, iaitu getah daripada pokok meranti. Pada suatu hari, ia merayau di dalam hutan itu berjalan dari sebatang pokok ke sebatang pokok memungut damar di suatu tempat bernama Belanga Pechah, maka ia telah sampai ke sebuah gua. Di gua itu dilihatnya satu benda seperti cendawan melekat pada tepi gua itu. Diambilnya sedikit untuk dimasak oleh isterinya kalau-kalau benda itu cendawan.
Di tengah jalan pulang ia berjumpa seorang China bernama Ah Pek. Maka ditunjukkannya kepada Ah Pek benda yang dibawanya itu, serta bertanyakan nama benda itu. Ah Pek sendiri tidak kenal benda itu lalu meminta sekeping supaya dapat ditunjukkannya kepada taukenya yang tinggal di Padang Mat Sirat. Tauke sendiri tidak tahu apakah benda lalu dibawanya ke Pulau Pinang supaya dapat dikenali.
Apabila ia balik dari Pulau Pinang beberapa hari selepas itu, Tauke itu pun bersama-sama dengan Ah Pek pergi ke rumah Pandak Maya dan memberitahu kepadanya bahawa benda yang disangka oleh Pandak Maya cendawan itu ialah sarang burung yang boleh dimakan. Tauke itu menyatakan sarang burung itu sukar didapati dan harganya sangat mahal. |