20 April 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 2
Lagenda
MAHSURI : Sebuah Tragedi Negeri Kedah
Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Ilustrasi Portrait Mahsuri

Dalam masa isteri Pandak Maya hamil maka kebunnya yang bertanam dengan pokok pisang, pokok buah-buahan dan pokok sayur-sayuran yang lain telah hidup dengan subur dan ayam itiknya menjadi biak. Jiran-jirannya selalu datang kepadanya membeli daun sirih dan sayur-sayuran.

Namanya menjadi terkenal bukan sahaja di kampungnya dan di dalam Mukim tempat ia tinggal tetapi juga di seluruh Pulau Langkawi itu.

Pada suatu malam sedang ia berbual-bual dengan isterinya serta mengucap syukur kepada Tuhan atas rahmat dan kemakmuran yang telah diturunkan olehNya kepada mereka itu, mereka telah terdengar bunyi ular cinta mani dekat rumah mereka. Dengan tidak bertangguh-tangguh, Pandak Maya pun turun ke tanah serta nampaklah ia ular itu ada dua ekor. Ditangkapnya kedua-kedua ekor ular itu. Mengikut satu kepercayaan orang tua-tua bahawa barang siapa dapat melihat dan memakan ular cinta mani itu akan hidup senang-lenang. Oleh yang demikian ular itu pun dibunuh mereka lalu dimasak dan mereka bertiga beranak memakannya dengan tidak ada sisa barang sedikit pun.

Kira-kira sebulan selepas itu, pada suatu hari yang terang cuacanya dan pada saat yang baik isteri Pandak Maya berasa sakit hendak bersalin. Ia pun menyuruh panggil bidan. Bidan pun datang dengan gopoh-gapah dan apabila ia sampai ia menyuruh Pandak Maya mengambil sedikit air tetapi oleh kerana musim kemarau pada masa itu tak dapatlah ia air yang cukup dari tempat yang berhampiran dengannya. Kemudian bidan menyuruh Pandak Maya mengambil daun sirih tetapi ini pun tidak diperolehnya kerana junjung sirih itu tersangat tinggi.

Tidak berapa lama kemudian seorang kanak-kanak telah selamat dilahirkan dan Pandak Maya dipanggil masuk oleh bidan untuk menamakan kanak-kanak itu. Oleh kerana kanak-kanak itu seorang perempuan ia telah diberi nama Mahsuri.

 
Telaga Mahsuri

Apabila Mahsuri berumur seminggu, Pandak Maya bermimpi bahawa ia hendaklah membawa anak kecilnya itu mandi di sebuah kolam yang tiada jauh dari rumahnya. Ia pun menunaikan kehendak mimpinya itu. Lepas mandi kanak-kanak itu pun dibawa pulang.

Untuk melapangkan hatinya, Pandak Maya pergi bersia-siar di dalam hutan kerana itulah kesukaannya. Sedang ia berjalan di dalam hutan itu ia telah ternampak setimbun batu yang ganjil rupanya. Dibedek-bedeknya dan ditakiknya dengan parangnya benda itu lalu dibakarnya. Asap yang keluar daripada pembakaran itu harum dan keras baunya. Dipungutnya beberapa ketul lalu dibawanya pulang. Selepas itu ditunjukkannya kepada Ah Pek. Kata Ah Pek benda itu ialah kemenyan dan boleh dijual dengan senang dan harganya pun baik. Pandak Maya telah mengutip banyak lagi kemenyan dan minta dijualkan kepada Ah Pek di Pulau Pinang.

Tempat Pandak Maya menjumpai kemenyan itu hingga hari ini dinamakan Lubok Kemian. Hasil daripada jualan kemenyan itu menambahkan wang Pandak Maya.

Apabila Mahsuri besar rupanya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya dan membawa hadiah. Sebagai seorang gadis yang telah besar panjang rupa parasnya bertambah-tambah cantik dan dia pandai pula melayan tetamu-tetamu yang datang serta bertimbang rasa terhadap orang-orang yang miskin. Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikkannya di seluruh Pulau Langkawi itu.

Pada masa tersebut Langkawi telah diperintah oleh seorang orang besar yang dianugerahi oleh Sultan gelaran Dato' Seri Kerma Jaya dan nama isterinya Mahura. Apabila Dato' itu mendengar cerita Mahsuri dan peri kecantikannya serta budi bahasanya itu beliau pun pergi ke Mawat dengan maksud hendak melihat Mahsuri.

Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Maya didapatinya Pandak Maya dan isterinya tidak ada di rumah. Anak mereka, Mahsuri ada. Ia pun membuka pintu dan memberitahu Dato' itu bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak. Dato' itu mengatakan bahawa dia tak dapat menanti dan akan datang sekali lagi pada suatu hari kelak.

 

Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah di dalam hatinya bahawa ia ingin hendak mengambil gadis itu untuk menjadi isterinya. Apabila dinyatakannya hasrat hatinya kepada isterinya maka terjadilah satu perkelahian yang begitu sengit sehingga terpaksa Dato' itu membatalkan cita-citanya hendak mengahwini Mahsuri.

Dato' Seri Kerma Jaya ada seorang anak bernama Mat Deris dan setelah berbaik-baik semula dengan isterinya Dato' itu telah berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu dan isterinya itu pun bersetuju. Pandak Maya serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadatnya dan mereka pun bersetujulah atas peminangan itu. Tiada berapa lama kemudian majlis perkahwinan pun diadakan dengan secara besar-besaran dan hampir-hampir semua penduduk Pulau Langkawi telah dijemput hadir ke majlis yang meriah itu.

Selepas perkahwinan itu sepasang suami isteri pun tinggal bersama-sama dalam aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan dan sebagai biasa lama dia tiada pulang.

Dalam masa Mat Deris tidak ada maka datanglah seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Ia mengembara di seluruh Semenanjung termasuklah Pulau Pinang dan Perlis. Dari Perlis ia menyeberang ke Langkawi kerana hendak tinggal beberapa hari.

Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, dan sangat pandai berpantun serta membaca cerita dalam bentok prosa. Pada suatu hari dia datang ke rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya beberapa hari dengan izin ibu bapanya. Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya.

 
  < Sebelum | 2 | Selepas >