19 March 2024
[1] [2] [3] [4]

HALAMAN 1
Cerita Rakyat
Hikayat Terung Pipit
Bab 1 :
Oleh : Panglima Ali Mudin bin Panglima Hasan
Sumber : Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985

ALKISAH, maka tersebutlah suatu ceritera zaman dahulukala; kisah tersebut di Tanah Jawa. Sebermula, maka tersebutlah konon ada seorang raja dua bersaudara, yang tuanya itu bernama Raja Kobad Syah dan yang bongsunya itu bernama Raja Kobad Syahrin, dan adapun Raja Kobad Syah itu, ia yang menjadi raja besar dan yang adik baginda itu diletakkan baginda menjadi Raja Muda di bawah perintah baginda. Maka akan baginda itu terlalulah adil, perintah setengah Pulau Jawa itu terhukum di dalam tangan baginda dua bersaudara itu.

Maka akan baginda dua bersaudara itu, telah sudah ia beristeri kedua bersaudara sekali. Selang tiada berapa lamanya baginda sudah beristeri, maka baginda Raja Kobad Syah pun berputera seorang anak laki-laki, terlalu amat baik rupa parasnya, tiada berbanding kepada zaman itu akan paras anakanda baginda. Maka dinamakan oleh baginda akan anakanda Raja Sulung Jawa, dan dibela peliharanya cukup seperti adat raja besar-besar. Sebagai lagi akan adinda baginda Raja Kobad Syahrin pun berputeralah juga tiga orang. Dua orang anaknya yang sulungnya perempuan dan yang bongsunya itu laki-laki dan dinamakan oleh ayahanda baginda akan anakanda yang laki-laki itu Raja Bongsu. Maka demikianlah juga baginda Raja Kobad Syahrin itu terlalu kasih sayangnya akan anakanda ketiga-tiganya itu.

Maka setelah besarlah Raja Sulung Jawa dan Raja Bongsu itu, maka tiada pernah berpecah, barang ke mana pun bersama-sama juga, berkasih-kasihan pergi mari. Maka kepada suatu hari Raja Sulung Jawa dan Raja Bongsu pun berbantahlah dua bersaudara itu sehingga menjadi berkecil-kecil hatilah. Maka Raja Bongsu pun tiada mahu duduk lagi di dalam Tanah Jawa itu. Maka beberapa dinasihatkan oleh ayahanda baginda tiada juga dipakainya. Maka ia pun bersiaplah menghimpunkan sekalian menteri penggawa dan rakyat bala tentera yang mana mahu bersetia dengan dia. Setelah sudah siap sekalian perahu, pelang, jong, sabuk, maka Raja Bongsu pun belayarlah meninggalkan Tanah Jawa. Niat hatinya hendak juga basuh arang di muka kerana sebab Raja Sulung Jawa itu.

Setelah tiada berapa lamanya Raja Bongsu belayar itu, maka Raja Bongsu pun sampailah di hujung Tanah Melayu, di Johar Mengkaleh. Maka Raja Bongsu pun singgah perbuat negeri di situ, dinamakan negeri itu Johor Mengkaleh Tanah Jata. Maka makin lama negeri Johor itu pun makin ramainya serta dengan kukuh, kota parit diatumya dengan meriam seribu sembilan ratus genap dengan seldadu menjaga. Maka Raja Bongsu pun kekallah menjadi raja di Johor Mengkaleh Tanah Jata itu. Demikianlah halnya Raja Bongsu itu.

Sebermula, maka tersebutlah pula perkataan Raja Sulung di Tanah Jawa. Maka selang tiada berapa lamanya maka Raja Sulung Jawa pun ingin rasa hatinya hendak beristeri. Maka termasyhurlah khabar ke Tanah Jawa peri baik paras anak raja Lindung Bulan Kedah Tua itu tiada berbanding kepada zaman itu di dalam Tanah Jawa, di seisi Tanah Melayu, bernama Tuan Puteri Rakna Juita.

Maka Raja Sulung Jawa pun hendak keluarlah bertandang desa hendak mencari isteri yang baik paras. Maka Raja Sulung pun bersiaplah sebuah kapal besi tiang tiga terlalu besarnya serta dengan menteri penggawanya cukup dengan alat senjata. Setelah genaplah kepada ketika yang baik dan saat yang sempurna, maka Raja Sulung Jawa pun berangkatlah naik ke atas kapal besi tiang tiga itu dengan sekalian menteri penggawanya lalu belayar menuju laut antara sebelah Tanah Melayu.

Hatta, maka tiada berapa lamanya Raja Sulung belayar itu, maka Raja Sulung pun sampailah ke Lindung Bulan Kedah Tua lalu berlabuhlah kapal itu di Kuala Kedah.

Setelah sudah maka Raja Sulung pun naiklah ke daratan langsung sekali masuk mengadap Raja Lindung Bulan Kedah Tua. Maka Raja Lindung Bulan pun menyambut Raja Sulung itu dengan seribu kemuliaan.

Setelah itu maka Raja Sulung pun berkiralah meminang akan tuan puteri bongsu yang bernama Tuan Puteri Rakna Juita itu.

Syahadan, lagi adapun akan Raja Lindung Bulan itu ada anaknya empat orang. Keempatnya sekali perempuan, dan yang sulung itu dikahwinkan oleh baginda dengan anaknya menteri, dan yang tengah itu dikahwinkan dengan anaknya temenggung, dan yang alangnya itu dikahwinkan baginda dengan anak demang. Sekaliannya menantu baginda itu daripada gengsi baginda juga, tinggal lagi anaknya baginda yang bongsu inilah yang belum bersuami lagi, ialah yang dipinang oleh Raja Sulung Jawa itu.

Maka akan sirih pinang Raja Jawa itu pun diterimalah oleh Raja Lindung Bulan Kedah Tua. Maka selang tiada berapa hari lamanya, maka Raja Lindung Bulan pun mengahwinkanlah anakanda baginda Tuan Puteri Rakna Juita itu dengan Raja Sulung seperti adat raja-raja bernikah kahwin. Maka Raja Sulung Jawa pun kekallah di dalam Lindung Bulan Kedah Tua.

Hatta, maka tiada berapa lamanya, maka Raja Lindung Bulan pun mangkatlah. Maka ditanamkan oranglah betapa adat raja besar-besar.

Hatta, maka setelah baginda sudah mangkat itu maka sekalian menteri, demang, temenggung pun berkatalah hendak meletakkan Raja Jawa itu mengganti baginda. Setelah sudah putus mesyuarat itu maka Raja Sulung Jawa pun ditabalkan oranglah akan ganti baginda yang sudah hilang itu di dalam negeri Lindung Bulan Kedah Tua.

Maka Raja Sulung pun kekallah memerintah negeri Lindung Bulan serta dengan adil murahnya. Maka sekalian rakyat bala tenteranya dan orang besar pun terlalu kasih sayang akan Raja Sulung itu. Maka akan negeri Lindung Bulan pun makin bertambah ramainya, tiada berputusan segala perahu dagang masuk berniaga di dalam Lindung Bulan. Tiada berputusannya lagi.

Hatta, maka Raja Jawa pun kekallah di atas takhta kerajaannya.

 
  1 | Selepas >