02 December 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 1
Syair
Syair Kenang-kenangan, Yapsai dan Taman Penghiburan

1360 - 1364
1941 - 1945

SYAIR KENANG-KENANGAN

Bulan mengambang awan beredar
Bintang berkilau beralih pudar
Tersunyi senyap seluruh Bandar
Tengah terlena aku tersedar

Termangu-mangu terkejut jaga
Dilihat bulan di lindung mega
Awan berkisar berupa naga
Dengan bulan hendak berlaga

Sudah terjaga balik terlena
Apakah pula konon kerana
Akal berlari ke mana-mana
Dicapai kalam lalu rencana

Di rencana syair jadi ingatan
Sedihnya hati bukan buatan
Umpama perahu di tengah lautan
Terkena ribut angin selatan

Dengan bismillah aku bermula
Saksilah kuasa Allah Taala
Di seluruh alam api menyala
Ke dunia ini diturunkan bala

Mula berbangkit di sebelah barat
Ke sebelah timur bala melarat
Makin sehati bertambah berat
Langsung ke Malaya jadi darurat

Adat dunia sahaja begitu
Dengki khianat sudahlah tentu
Sama manusia tidak sekutu
Maka pun terjadi demikian itu

Berbangkit seorang kepala Jermani
Adolf Hitler gagah berani
Mendapat sahabat Musolini
Seluruh Eropah berjaya ditawani

Kedua pahlawan sangat takbur
Berbagai dakyah telah di hambur
Semangat ajaib sudah tersubur
Akhirnya kedua telah tercebur

Sedang kedua memegang teraju
Di negeri Eropah peperangan maju
Lalu berfikir Jeneral Tojo
Inilah masa menyingsing baju

Jangan menghilang peluang dan masa
Kita pun juga suatu bangsa
Gagah berani di timur angkasa
Turun temurun tiada binasa

Raja berasal dari kayangan
Tiada suatu apa kekurangan
Ribu tahun punya bilangan
Serba-serbi dapat kenangan

Raja tak boleh mudah di jumpa
Kerana takut daulat ditimpa
Selalu masa dalam bertapa
Duduk teringat negeri Eropah

Sangat diberati tiga perkara
Pertama raja kedua bendera
Ketiga matahari juga dikira
Disembah di sujud seisi negara

Semangat kasih sayang ke raja
Dari kecik sudah dipuja
Ketika sedang muda remaja
Itulah masa menabur baja

Kerana raja membunuh diri
Sebesar pahala konon dicari
Dengan berupa berhara kiri
Kematian begitu sangat digemari

Haloba tamak terkebur serupa
Menakluk dunia Tojo tak lupa
Ketika di barat masih bergempa
Ke pelabuhan Pearl Tojo menerpa

Sebelum putus mesyuarat di Amerika
Langgaran dilancar itu ketika
Tengah lena dicari jangka
Oleh Amerika supaya tak sangka

Dengan kerana tamak dah jadi
Tojo merupa tidak berbudi
Ke Pelabuhan Pearl mula di sudi
Di tengah laut putus kemudi

Lepas satu ke satu pulau
Asap bergembut api berkilau
Oleh Amerika balik dihalau
Putih mata Tojo terpelau

Sebab Tojo jadi begitu
Kerana diharap Jerman membantu
Dengan Itali pula sekutu
Tak sedarkan ajal menanti waktu

Peperangan dasyat tiada terkira
Di laut di darat juga di udara
Terus ke Malaya Jepun dah mara
Di sini akhirnya mereka terpenjara

Sabung-menyabung di timur lautan
Di mula langgar pantai Kelantan
Terus ke Kedah ikut daratan
Dirempuh masuk mengikut hutan

Setengah merempuh ikut utara
Mereka mendarat ikut Sanggora
Ke peperangan Kedah mereka pun mara
Di sini pula banyak dah lara

Dilanggar masuk ke Tanjung Pauh
Ke Tanah Merah mereka merempuh
Di sini sekian terkena sepuh
Setengah kekuatan sudah terlumpuh

British menanti tiada khuatir
Kedatangan musuh tidak digentar
Meriam disedia beratus butir
Peluru meletup seperti petir

 
  1 | Selepas >