06 November 2024
[1] [2]

HALAMAN 1
Lagenda
Sejarah Dan Cerita Siputeh
Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman I ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang memerintah negeri Kedah selama 49 tahun di antara tahun Masihi 1374-1423 (775 - 826H), baginda bersemayam di Siputeh. Baginda adalah seorang Sultan yang suka kepada kedamaian dan rakyat negeri sangatlah taat dan kasih kepada baginda.

Baginda sangat menggalakkan rakyatnya bercucuk-tanam dan berternak. Selain daripada itu, baginda suka melihat orang-orang bersilat dan baginda sendiri seorang yang handal dalam ilmu bersilat.

Baginda berkahwin dengan seorang raja bernama Puteri Siputeh. Dengan usaha dan bijaksana Puteri Siputeh, negeri Kedah menjadi mewah dan makmur.

Baginda Sultan berputerikan dua orang puteri dengan Puteri Siputeh dan seorang daripadanya konon berdarah putih. Baginda sangatlah kasih kepada puteri yang berdarah putih itu lebih-lebih lagi rupa parasnya tiada tolok bandingnya pada masa itu.

Pada zaman itu, negeri Acheh negeri yang terletak di utara Pulau Percha (Sumatera) sangatlah besar kuasa dan pengaruhnya dan Raja dan segala menteri hulubalangnya sangat gagah perkasa. Bukan sahaja rakyat Acheh gagah dan berani bahkan dari segi perniagaan pun mereka pandai dan cekap serta sangat rajin bercucuk tanam dan berternak.

Apabila kedengaran kepada Raja Acheh betapa makmur dan amannya negeri Kedah yang diperintah oleh Sultan Sulaiman di Siputeh dan sambil itu kedengaran pula baginda mempunyai seorang puteri yang sangat cantik rupawan dan berdarah putih, datanglah cemburu di hatinya.

Berbalik kepada kisah dua orang puteri baginda Sultan yang tersebut di atas, Raja Acheh pula mempunyai seorang putera yang sangat muda remaja dan telah cukup umur. Dengan kerana Raja Acheh tidak berjaya menakluki negeri Kedah dengan kekerasan, ia pun menghantar seorang menterinya dan beberapa orang besar datang ke Siputeh dengan tujuan hendak meminang puteri Sultan yang berdarah putih itu. Angkatan menteri Acheh itu terdiri daripada tujuh puluh buah perahu penuh sesak dengan barang-barang hadiah daripada Raja Acheh kepada baginda Sultan Kedah dan untuk puteri yang hendak dipinang itu.

Angkatan menteri Acheh itu disambut oleh baginda Sultan dengan beberapa kemuliaan dan secara besar-besaran dan pinangan ke atas anaknya diterima dengan sukacitanya.

Baginda Sultan Sulaiman dengan kerana kasih kepada anaknya yang berdarah putih itu diberikannya anak yang seorang lagi itu berkahwin dengan anak Raja Acheh. Perbuatan ini menyebabkan kejatuhan Sultan Sulaiman.

Istiadat perkahwinan itu telah disempurnakan di negeri Acheh secara besar-besaran mengikut keadaan zaman itu dan ramai raja negeri yang berjiran telah dijemput untuk hadir bersama. Setelah selesai upacara perkahwinan itu dilaksanakan, putera dan puteri hidup bersama dalam keadaan rukun dan damai.

 
  1 | Selepas >