19 March 2024
[1] [2] [3]

HALAMAN 1
Lagenda
MAHSURI : Sebuah Tragedi Negeri Kedah
Oleh : Dato Wan Ibrahim bin Wan Soloh

Makam Mahsuri

Tuan-tuan yang telah melawat Langkawi tentu telah mendengar dan mungkin telah melawat kubur Mahsuri di Mukim Ulu Melaka.

Cerita Mahsuri telah dikarang oleh Perdana Menteri kita, Tunku Abdul Rahman Putra AI-Haj. Cerita itu telah difilemkan beberapa tahun dahulu dan telah dipersembahkan di atas pentas untuk mengutip derma beberapa kali.

Cerita yang ditunjukkan di-dalam filem dan di-atas pentas adalah berbeza sedikit daripada versi yang diceritakan oleh orang tua-tua di Langkawi. Cerita yang berikut telah diceritakan kepada saya oleh seorang penduduk tua pulau itu bernama Ku Jusoh.

Kira-kira dua ratus tahun dahulu, dalam masa pemerintahan Al-Marhum Sultan Abdullah Mukaram Shah yang kedua yang memerintah Kedah antara tahun 1762 dengan 1800, ada seorang Melayu miskin tinggal di pulau Langkawi itu bersama-sama isterinya. Mereka berdua hanya mempunyai seorang anak perempuan. Nama orang itu Pandak Maya, nama isterinya Mek Andak Alang dan anaknya dipanggil Mek Yah.

Pada suatu hari sedang suaminya mencari seekor kerbau hilang, maka dengan tiba-tiba turun hujan yang sangat lebat serta guruh petirnya. Pandak Maya berteduh di dalam sabuah pondok tinggal. Semasa ia berada di dalam pondok itu ia telah mendengar tangisan seorang kanak-kanak kecil. Ia memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di manakah kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut. Diambilnya sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksanya. Ia berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu pun berhenti.

 
Telaga Mahsuri

Selepas memerhatikannya maka dilepaskannya kerak nasi itu dan kedengaran semula bunyi kanak-kanak menangis. Pandak Maya bertambah hairan apabila melihatkan kejadian itu. Apabila hujan sidang ia pun berjalan balik dengan membawa sedikit kerak nasi itu. Apabila sampai di rumah diberinya kerak nasi itu kepada isterinya serta diceritakannya apa yang telah berlaku.

Isterinya menyatakan kepadanya bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua tangisan kanak-kanak seperti itu ialah tangisan "semangat" buah padi.

Mek Andak pun menyimpan kerak nasi itu dan pada tiap-tiap kali ia memasak nasinya, sama ada untuk makan siang atau makan malam dimasukkannya kerak nasi itu ke dalam nasinya dan mereka bertiga beranak pun makanlah seperti biasa.

Beberapa bulan kemudian Mek Andak pun mengandung sekali lagi. Selain daripada berladang padi untuk menambah pencarian keluarganya, Pandak Maya biasa pergi ke dalam hutan tidak jauh dari rumahnya kerana mencari damar, iaitu getah daripada pokok meranti. Pada suatu hari, ia merayau di dalam hutan itu berjalan dari sebatang pokok ke sebatang pokok memungut damar di suatu tempat bernama Belanga Pechah, maka ia telah sampai ke sebuah gua. Di gua itu dilihatnya satu benda seperti cendawan melekat pada tepi gua itu. Diambilnya sedikit untuk dimasak oleh isterinya kalau-kalau benda itu cendawan.

Di tengah jalan pulang ia berjumpa seorang China bernama Ah Pek. Maka ditunjukkannya kepada Ah Pek benda yang dibawanya itu, serta bertanyakan nama benda itu. Ah Pek sendiri tidak kenal benda itu lalu meminta sekeping supaya dapat ditunjukkannya kepada taukenya yang tinggal di Padang Mat Sirat. Tauke sendiri tidak tahu apakah benda lalu dibawanya ke Pulau Pinang supaya dapat dikenali.

Apabila ia balik dari Pulau Pinang beberapa hari selepas itu, Tauke itu pun bersama-sama dengan Ah Pek pergi ke rumah Pandak Maya dan memberitahu kepadanya bahawa benda yang disangka oleh Pandak Maya cendawan itu ialah sarang burung yang boleh dimakan. Tauke itu menyatakan sarang burung itu sukar didapati dan harganya sangat mahal.

 

Pandak Maya sudah tentu sangat gembira kerana ia boleh dapat dengan banyak di dalam gua itu. Maka ia pun pergi ke gua tersebut lalu mengumpul sarang burung itu, kemudian ia menyuruh jualkan kepada Tauke itu di Pulau Pinang. Kadang-kadang ia sendiri pergi menjualnya. Dengan wang jualan sarang burung itu ia membeli kain baharu serta barang-barang lain untuknya sendiri dan untuk keluarga. Dia juga membeli barang-barang untuk dijual kepada orang-orang di kampungnya.

Tiada berapa lama kemudian pecahlah khabar bahawa Pandak Maya telah menjumpai sarang burung dan dia telah menjadi kaya-raya.

Pada suatu hari seorang kawan Pandak Maya bernama Mat Jusoh telah datang ke rumahnya dan bertanya kepadanya kalau-kalau boleh ia memberitahu di mana dia mendapat sarang burung itu. Sebagai seorang yang lurus dan pemurah dia telah menemani Mat Jusoh pergi menunjukkan tempat itu. Sebelum sampai betul-betul ke tempat tersebut maka dengan tiba-tiba datang angin ribut yang amat kencang serta guruh petirnya. Beberapa pohon besar telah bongkas. Dengan yang demikian Pandak Maya dan kawannya itu pun mengambil keputusan membatalkan perjalanan mereka itu lalu pulang.

Tiada lama selepas itu mereka pergi sekali lagi dan sekali lagi hujan lebat turun serta kilat sabung-menyabung. Oleh itu bukan sahaja mereka tak dapat mencari sarang burung bahkan juga tak dapat menemui gua itu. Maka tak ada ikhtiar lain, lalu mereka pun pulang dengan tangan kosong.

Mat Jusoh dan kawan-kawannya menuduh Pandak Maya tidak jujur iaitu dengan cuba merahsiakan gua itu daripada mereka.

 
  1 | Selepas >