19 March 2024
[1] [2]

HALAMAN 1
Syair
Syair Kedah Darul Aman
Bab 1 : Hikayat Merong Mahawangsa
Oleh : Abdul Halim "R"
Sumber : Kem. Kebudayaan, Kesenian & Pelancongan Malaysia, 2001

Burung Garuda Dengan Nabi Allah Sulaiman

Pada zaman dahulu kala,
Nabi Sulaiman perintah segala,
Seluruh alam segenap petala,
Taat perintah dengan rela.

Tersebut kisah di Langkapuri,
Burung garuda berdiam diri,
Banyak sakti megah sendiri,
Semua makhluk takut hampiri.

Rajawali mendengar cerita,
Burung Kakak Tua empunyai warta,
Lalu pergi serta-merta,
Berjumpa garuda beri berita.

Raja Rum ada rencana,
Ingin jodohkan anaknya teruna,
Dengan puteri Raja Cina,
Negerinya jauh di Timur sana.

Perkahwinan dirancang dengan bangga,
Walaupun jauh tidak terhingga,
Kerana takbur serta peraga,
Raja-raja lain tidak terduga.

Burung garuda hilang pedoman,
Lalu mengadap Raja Sulaiman,
Teguh tekad keazaman,
Gagal hasrat perkahwinan idaman.

Raja Sulaiman beri pandangan,
Makhluk hanya buat rancangan,
Begitu juga jodoh tunangan,
Hanya Allah punya pegangan.

Azam Garuda penuh perasaan,
Gagal perkahwinan dengan paksaan,
Andai tindakan tidak berkesan,
Nyahkan diri dari insan.
 
        
Angkatan Raja Merung Mahawangsa Dimusnahkan

Terbang Garuda ke Benua Cina,
Melihat puteri dijaga sempurna,
Puteri disambar tidak semena,
Inang, pengasuh dicengkam kena.

Ketiganya terus dibawa lari,
Terbang menuju ke Langkapuri,
Diletak ke tempat yang berseri,
Segala keperluan Garuda beri.

Raja Rum raja berbangsa,
Siap kelengkapan tergesa-gesa,
Berketua Raja Merung Mahawangsa,
Keturunan dewa yang berjasa.

Isteri berbaka raksasa gergasi,
Hidup mereka begitu serasi,
Selalu dibawa duduk di sisi,
Kerana ayah banda begitu sangsi.

Merung Mahawangsa sebagai sahabat,
Baginda rela turut terlibat,
Ganti Raja Rum sebagai kerabat,
Ke Negeri Cina berbahtera hebat.

Belayar beberapa buah bahtera,
Mengharung gelombang samudera,
Singgah beberapa buah negara,
Naungan Rum rakyat gembira.

Mereka belayar tepi daratan,
Di mana singgah diberi sambutan,
Dapat hadiah sarat muatan,
Hingga sampai dekat Hindustan.

Kuala Changgung nama negeri,
Guruh petir tidak terperi,
Burung besar datang hampiri,
Rupanya Garuda dahsyat ngeri.

Raja Merung perintah berkata,
Mesti semua siap senjata,
Tunggu angkara dan sengketa,
Bahaya berada di depan mata.

Raja Merung tenang menghala,
Panah meriam serta lela,
Ke arah Garuda tujuan ditala,
Ditepis Garuda tidak bersela.

Terjadi peperangan yang ngeri,
Antara angkatan yang melayari,
Dengan Garuda seekor diri,
Putera Rum mesti dibunuh sendiri.

Perang berhenti bila malam,
Suasana menjadi amat kelam,
Garuda hilang ke mana alam,
Hinggalah siang cerah berbalam.

Tiada perang beberapa hari,
Bahtera dan kapal terus layari,
Di Kuala Tawai terjadi peri,
Tiba-tiba Garuda langgari.

Ribut guruh petir dan kilat,
Angkara Garuda sakti mengilat,
Dua bahtera kembar beralat,
Kapal mengepung tidaklah ralat.

Raja Merung panah segera,
Keluar api merah berbara,
Segala azmat bahana di udara,
Jadi lenyap bagai dimentera.

Panah dan bedil menuju Garuda,
Tidak terjejas kenanya tiada,
Tiga kapal terkena landa,
Diterbang entah ke mana berada.

Gempita tentera bertempik sorak,
Namun Garuda tangkas bergerak,
Tiga lagi kapal berselerak,
Terbang Garuda di mega berarak.

Banyak kapal rosak binasa,
Ramai manusia pasti terseksa,
Ahli rombongan sedih terasa,
Angkara Garuda gila kuasa.

Di Kuala Parit pinggiran segara,
Garuda mengganas terus mara,
Raja Merung memanah mentera,
Bernama Pusar Sempani Gembira.

Panah sakti bukan buatan,
Keluar dengan hantu syaitan,
Garuda tepis dengan kekuatan,
Sambil sambar kapal dan muatan.

Dipanah lagi Jentayu m7njelma,
Lalu berlawan seketika lama,
Keluar api dentuman bergema,
Jentayu hangus mati percuma.

Ke Pulau Salang belayar bahtera,
Raja Merung titah bicara,
Hendak berlabuh buat sementara,
Air dan kayu dicari segera.

Putera Rum belayar terus,
Dengan menempuh gelombang arus,
Pengiring yang ada boleh mengurus,
Sangka Garuda ganggu sejurus.

Bila hampir Pulau Langkapuri,
Bahtera telah Garuda langgari,
Rosak binasa tidak terperi,
Tinggal Putera seorang diri.

Garuda yakin Putera terkorban,
Sebenar di papan Putera terhumban,
Garuda sangka selesai beban,
Ke Langkapuri pulang ke reban.
 
       
Kerajaan Langkasuka
 
Raja Merung selesai kerja,
Belayar menurut putera raja,
Terjumpa orang renang terkinja,
Baginda sedih bermuram durja.

Telah penat mereka mencari,
Sudah masuk berhari-hari,
Tanpa bayang puteranya diri,
Kecewa baginda di sanubari.

Belayar ke timur ke Teluk Tanjung,
Bertanya kepada mualim tersanjung,
Nama pulau yang di hujung,
Hajat hati hendak berkunjung.

Mualim berkata dengan pasti,
Seri dan Jambul pulau sejati,
Ke Pulau Lada mereka dekati,
Lalu berlabuh sesuka hati.

Kaum Gergasi penghuni di situ,
Raja Merung mereka bantu,
Pelawa tinggal dan sekutu,
Sambil mencari Putera Rum itu.

Jumpa kawasan indah saujana,
Dirikan kota serta istana,
Semua lengkap dengan sempurna,
Lalu mencari nama bermakna.

Mereka bekerja bersuka-suka,
Makan minum senang belaka,
Raja Merung jadi Paduka,
Gelar negeri Langkasuka.

Berpindah ke situ beramai-ramai,
Suasana aman serta damai,
Keadaan desa begitu permai,
Rakyat taat kasih tersemai.

 
  1 | Selepas >